Monday, March 11, 2013

Mahabharata – Bahagian 21


Sejak ditabalkan sebagai yuvaraja, Devavrata semakin sibuk dengan tugas menyusun strategi perang bagi memastikan kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura terus kukuh dan mampu meluaskan kuasa.

Benarlah kata ibunya, Dewi Gangga, bahawa Devavrata sudah belajar veda dan vedanta daripada Maharishyi Vasishta sejak bayi. Putera itu juga sudah mendalami ilmu bahasa, seni, sastera, dan sains yang dinamakan sukra.

Ternyata Devavrata seorang putera yang berilmu, bermoral dan beretika serta layak ditabalkan sebagai raja muda yang bakal mengambil alih pemerintahan kerajaan daripada Raja Santanu apabila tiba masanya.

Sebagai seorang individu yang sudah menguasai serta lulus cemerlang dalam bidang ilmu memanah, Devavrata seorang wira yang tiada tolok bandingan dalam kalangan vasu (dewa) dan manusia.

Namun begitu, perkara yang paling menonjol adalah bahawa sebagai pakar strategi perang, putera berkenaan sangat berminat menguruskan tentera milik ayahnya. Saban hari, Devavrata meluangkan masa melatih tentera dan membawa mereka menjalani latihan di tempat-tempat yang jauh dan dekat.

Peluang Santanu untuk bertemu dan bermesra dengan putera tunggalnya hanya hadir dalam masa sekitar dua minggu sekali. Kesempatan yang ada pula sering digunakan oleh Devavrata untuk membincangkan urusan pentadbiran kerajaan secara demokrasi supaya penduduk dan rakyat yang diperintah hidup aman, damai dan bahagia.

“Jangan pula pada suatu hari nanti, apabila ayahanda bertanya kepada rakyat-jelata sama ada mereka masih bersedia untuk dipimpin oleh keturunan Kuru, mereka pula lantang memberikan jawapan ‘tidak’ berikutan ketidakpuasan dalam diri,” Devavrata menasihatkan Santanu semasa mereka makan malam pada suatu hari.

Santanu pula hanya mengangguk-angguk kecil. Fikirannya ternyata melayang jauh ke tempat lain. Devavrata menyedari perkara itu; khususnya apabila ayahnya hanya makan sesuap nasi sejak setengah jam yang lalu.

“Apa yang menganggu fikiran ayahanda?” Devavrata bertanya apabila sudah tidak dapat terus berpura-pura tidak menyedari perubahan ketara pada sikap ayahnya.

“Err … Tiada apa-apa,” Santanu menjawab dalam usaha menyembunyikan kisah mengenai Satyavati serta pertemuan baginda dengan ketua komuniti nelayan sekitar dua minggu lalu.

Devavrata merenung wajah ayahnya untuk seketika. Akhirnya mata mereka bertembung tetapi Santanu segera mengalihkan pandangan bagi mengelakkan tikaman mata putera kesayangannya.

“Tidak perlulah ayahanda berdalih. Saya dapat menduga bahawa ada sesuatu yang amat mengganggu fikiran ayahanda sejak hampir dua minggu yang lalu. Ceritakanlah. Mungkin saya boleh membantu,” raja muda itu memujuk dengan penuh kasih dan hormat.

Dalam diam, Santanu terasa amat gembira. Saat seperti ini memang telah dinanti-nantikannya sejak dua minggu lalu. Baginda memang mahu meluahkan rasa hati kepada putera tunggalnya.

Namun begitu, lidahnya kelu seketika kerana tidak tahu bagaimana mahu membuka cerita mengenai Satyavati yang pertama kali dilihatnya sedang mandi di Sungai Yamuna, dua minggu lalu.

“Sebenarnya ayahanda risau memikirkan kau,” kata raja itu dalam keadaan kekok dan kurang menguasai aspek komunikasi bagi meluahkan perkara sebenar yang menganggu fikiran.

“Risau tentang saya?” Devavrata bertanya dengan hairan. “Apakah perkara yang mungkin membuatkan ayahanda risau tentang saya?”

“Bukankah kau sentiasa sibuk dengan urusan menyusun strategi perang dan latihan perang di pelbagai tempat?” Santanu cuba membuka topik dengan menjadikan putera itu sebagai alasan utama.

 “Ayahanda sangat risau kerana kita hanya berpeluang untuk bertemu dua minggu sekali.”

“Maafkan saya, ayahanda. Tanggungjawab sebagai yuvaraja dan ketua panglima tentera menuntut saya menguruskan hal-hal itu. Tapi apakah itu perkara sebenar yang membuatkan ayahanda bersedih?”

Lidah Santanu kembali kelu. Baginda merasakan bahawa inilah peluang terbaik untuk mendedahkan kepada Devavrata mengenai Satyavati yang muncul dalam mimpinya pada setiap malam sejak dua minggu yang lalu.

“Atau ayahanda sebenarnya mahu saya segera berumahtangga?” Devavrata menyambung dengan nada tersipu-sipu.


Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/02/24/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-21/

No comments: