Monday, September 30, 2013

Mahabharata – Bahagian 50

Raja Vrishaparva yang diiringi Maharishi Sukracharya dan sekumpulan asura berangkat menuju ke tepi tasik di mana Devayani dilaporkan masih duduk menangis kerana dibuli serta dihina oleh Puteri Sarmista.

Peristiwa keberangkatan itu mula tersebar secara meluas dalam kalangan orang ramai.

Walaupun maklumat dan berita cuba disembunyikan oleh golongan pemerintah – kerana melibatkan maruah dan salah-laku golongan bangsawan – rakyat tetap ada cara untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat.

Setiba di tepi tasik yang dimaksudkan, Vrishaparva mendapati memang Devayani sedang duduk menangis teresak-esak di bawah sebatang pokok.

Perkembangan terbaru itu pula segera dilaporkan secara telepatik oleh beberapa pendeta kepada rakan-rakan yang berada jauh dan dekat.

Apabila melihat ketibaan bapanya serta raja yang juga bapa kepada Sarmista, segeralah Devayani berdiri sebagai tanda hormat kerana sudah menjadi kebiasaan sejak kecil.

Sebelum gadis itu sempat menceritakan semula segala apa yang berlaku sejak mula, Sukracharya berkata,

“Tidak perlulah bercerita kerana saya sudah pun memaklumkan secara terperinci apa yang berlaku.”


Kemudian maharishi itu mengerling ke arah Vrishaparva dan kumpulan asura yang datang bersama-samanya. Raja berkenaan memahami makna kerlingan itu.

Maka, tanpa banyak bicara, Vrishaparva menyembah kaki Devayani sebagai tanda meminta keampunan dan menyerah diri.

Melihat akan perbuatannya, golongan asura yang datang bersama-sama juga segera melakukan perkara sama.

Peristiwa yang berlaku di tepi tasik itu segera pula disebarkan secara telepatik oleh beberapa pendeta kepada rakan-rakan mereka.

 Dalam sedikit masa sahaja, ia tersebar luas bagaikan virus dan sudah diketahui pelbagai lapisan masyarakat.

Mustahil golongan pemerintah boleh menyekat atau menghalang penyebaran maklumat itu kerana tidak disalurkan menerusi saluran-saluran komunikasi arus perdana yang dikuasai dan dikawal ketat oleh pemerintah.

Sejurus kemudian, Vrishaparva berdiri tertunduk di hadapan Devayani dan Sukracharya. Golongan asura – yang pada masa dahulu terlibat dalam usaha pembunuhan Kacha iaitu anak Maharishi Brihaspati – turut berdiri kaku tanpa bicara.

“Baiklah, saya menerima permohonan ampun daripada tuanku yang menyembah kaki saya mewakili Sarmista,” kata Devayani. “Akan tetapi, saya tidak boleh membiarkan puteri itu terlepas begitu sahaja.”

Golongan asura berpandangan. Vrishaparva dan Sukracharya juga berpandangan.

“Sarmista telah menghina, memperlekeh dan menjatuhkan maruah saya.

Hukuman yang paling adil adalah bahawa dia perlu menjadi pembantu di rumah saya selepas saya berkahwin nanti,” gadis itu menegaskan tanpa mengharapkan bantahan atau sokongan daripada mana-mana pihak.

Setelah tercegat seketika, Vrishaparva membisikkan kepada seorang pegawai istana supaya segera pergi mendapatkan Sarmista.

Dipendekkan cerita, puteri itu pun tiba tidak lama kemudian bersama-sama dayang-dayangnya.

Vrishaparva menceritakan secara ringkas kepada puterinya tentang apa yang berlaku sejak ketibaan baginda di tepi tasik.

“Tuanku dan kumpulan asura sudah menyembah kaki saya untuk memohon ampun. Kalau Sarmista keberatan untuk menjadi orang gaji saya, bolehlah tuanku menggantikan tempatnya,” Devayani berkata dengan selamba.

Muka Vrishaparva dan Sarmista memerah kerana maruah dan kedudukan mereka sebagai golongan berdarah pemerintah diperlekehkan sedemikian rupa.

“Baiklah. Demi menjaga maruah bapa saya yang juga raja golongan asura, saya bersetuju dengan syarat yang awak letakkan.

Saya akan menjadi pembantu di rumah awak apabila awak berkahwin nanti,” Sarmista berkata sambil mengetap bibir bagi mengawal kemarahan yang membuak.

Devayani tersenyum gembira meraikan kejayaannya. Sementara itu, Sarmista berjanji dalam hati untuk membalas dendam terhadap Devayani.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/09/29/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-50/

No comments: