Wednesday, September 04, 2013

Mahabharata – Bahagian 47

Hari sudah lewat petang dan Maharishi Sukracharya mula risau. Anak gadisnya, Devayani, yang pergi ke tasik untuk mandi-manda bersama-sama sekumpulan kawannya masih belum pulang.

“Mungkinkah sesuatu yang tidak diingini menimpa? Mengapa hatiku begitu risau?” Demikian fikir pendeta itu yang merupakan penasihat kepada ketua golongan asura iaitu Raja Vrishaparva.

Sejurus kemudian, maharishi itu memanggil seorang wanita yang menginap di ashram (asrama) dan memintanya pergi meninjau tasik tempat Devayani, Puteri Sarmista dan rakan-rakan mereka pergi.

“Mengapa tidak saya pergi terus ke istana untuk mendapatkan maklumat? Kalau ada sesuatu berlaku sekali pun, pasti maklumat sudah sampai di sana,” wanita itu mencadangkan.

“Oh! Sampai bila kita mahu terus hidup berkiblatkan istana dan raja-raja? Bukankah lebih baik jika kita pergi terus kepada punca masalah daripada asyik bergantung kepada sumber maklumat daripada pemerintah dan istana?”

Wanita yang mengusulkan cadagan tadi tidak membantah mahu pun menjawab. Dia segera pergi ke tasik yang dimaksudkan.

Sebaik tiba, dia terkejut melihat Devayani sedang menangis seorang diri di bawah sebatang pokok. Gadis itu ternyata amat marah dan kedua-dua matanya pula merah.


“Apa yang berlaku? Adakah sesuatu yang tidak diingini menimpa?” tanya wanita tadi dengan penuh risau dan berdebar-bedar.

 “Adakah mana-mana lelaki yang cuba mencabul kehormatan kau? Aku harap kau berjaya mempertahankan kesucian dan maruah.”

Sejurus kemudian, Devayani menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Diceritakannya mengenai Sarmista yang menolaknya ke dalam perigi buta dan Raja Yayati yang menariknya keluar dari sana.

“Oh, begitu romantik! Pasti semua orang di ashram seronok mendengar kisah yang mendebarkan ini. Marilah kita pulang,” kata wanita berkenaan.

“Tidak!” Devayani memintas. “Raja Bharata itu telah meninggalkan saya dengan alasan tidak mahu mengahwini saya.

 Kononnya kami tidak sama taraf. Sarmista pula telah mengaibkan saya. Saya sudah berikrar tidak akan memijak tanah kerajaan yang diperintah Raja Vrishaparva. Kau pulanglah dan khabarkan kepada ayah!”

Selepas terpinga-pinga sebentar, wanita tadi berjalan pulang ke ashram. Sepanjang perjalanan dan sebaik tiba di perkampungan itu, dia menceritakan kepada wanita-wanita lain mengenai peristiwa menarik yang berlaku melibatkan Devayani, Sarmista dan Yayati.

Kemudian, kisah yang sama disampaikan olehnya kepada Sukracharya yang sedang menanti dengan penuh resah mengenangkan anak gadisnya.

Tanpa melengahkan masa, maharishi itu segera pergi ke tepi tasik untuk memujuk anaknya pulang. Sebaik tiba, dilihatnya Devayani masih duduk di bawah sebatang pokok seperti diceritakan oleh wanita tadi.

“Sarmista telah menghina saya serta menghina pekerjaan ayah dan keturunan kita. Sebagai seorang wanita yang bermaruah, saya tidak boleh membiarkan sesiapa pun – termasuk seorang puteri – menghina saya.

Maka, saya tetap dengan pendirian untuk tidak akan pulang,” Devayani menegaskan selepas Sukracharya cuba memujuknya.

“Anggaplah semua itu sebagai sebahagian cabaran hidup. Pasti ada puak yang menganggap kedudukan mereka terlalu tinggi lalu menghina, memperlekeh, menindas, menzalimi dan memperkecilkan orang lain.

 Kita tidak boleh mengubati kebodohan dan kejahilan mereka. Akidah mereka terlalu rapuh dan syaitan amat mudah mempengaruhi jiwa dan minda mereka,” pendeta berkenaan menghuraikan.

“Tidak, ayah! Janganlah cuba memujuk saya lagi. Puteri yang hina itu telah melukakan hati saya. Walau apa-apa pun yang ayah cuba nasihatkan, luka di hati saya tidak akan sembuh.”

Sukracharya terdiam seketika kerana Devayani ternyata tidak mudah dipujuk. Otak pendeta itu ligat memikirkan langkah susulan yang terbaik dan wajar.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/09/01/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-47/

No comments: