Friday, September 27, 2013

Mahabharata – Bahagian 49

Golongan asura yang berada di istana Raja Vrishaparva terkejut mendengar kata-kata ketua mereka yang sanggup membunuh diri dengan melompat ke dalam unggun api jika ditinggalkan oleh Maharishi Sukracharya.

“Saya tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu apa yang akan tuanku lakukan. Saya tidak mahu masuk campur.”

Kata-kata yang diucapkan oleh Sukracharya membuatkan orang ramai dan Vrishaparva terkedu.

Tentulah kemarahan pendeta itu amat memuncak sehingga sanggup meluahkan kata-kata seperti itu kepada ketua golongan asura yang disegani.

“Kalau tuanku sudah tiada sekali pun, saya masih akan meneruskan hidup.

Golongan pemerintah dan penguasa sering mengandaikan bahawa rakyat tidak boleh hidup tanpa mereka.

Hakikat adalah bahawa hidup akan diteruskan seperti biasa tanpa pemerintah yang tidak mampu memainkan peranan yang sewajarnya.”

Wajah Vrishaparva memerah mendengar akan kritikan pedas itu. Namun begitu, baginda tetap berdiam diri kerana mengakui kebenaran kata-kata tersebut.

“Sebagai seorang bapa, insan yang lebih penting dalam hidup saya adalah anak saya iaitu Devayani.

Jika tuanku benar-benar memerlukan saya serta sanggup membunuh diri dengan terjun ke dalam unggun api jika saya memilih untuk meninggalkan kerajaan ini, hanya ada satu cara. …”

Orang ramai terus terpaku. Masing-masing menunggu dengan penuh debaran untuk mengetahui apakah alternatif atau pilihan yang mahu dicadangkan oleh penasihat kepada golongan asura itu.

“Atas dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh Puteri Sarmista, saya mahu tuanku pergi bertemu Devayani yang masih sedang duduk menangis di bawah sebatang pokok di tepi tasik,” Sukracharya mengemukakan cadangan dengan berani dan tegas.

Orang ramai mula berpandangan. Tidak kurang juga yang hairan melihat perubahan sikap maharishi itu yang selama ini begitu setia dan akur pada segala arahan Vrishaparva.

Pada hari ini, maharishi itu sudah berani memberikan arahan manakala pemerintah pula yang berdiri tertunduk mendengar apa-apa yang dikatakan kepada baginda.

“Ya, beta akan segera pergi bertemu Devayani. Beta akan meminta maaf bagi pihak Sarmista,” kata pemerintah kerajaan asura itu seketika kemudian.

“Bukan setakat itu,” pendeta berkenaan pula segera menambah. “Saya mahu tuanku menyembah kaki Devayani bagi pihak Sarmista dan memohon maaf.”

Golongan asura yang berkumpul di istana Vrishaparva benar-benar terkejut mendengar arahan itu. Masakan seorang raja akan sanggup menyembah kaki seorang rakyat; apatah lagi seorang wanita!

Vrishaparva memandang ke arah Sukracharya bagaikan memohon simpati. Bagaikan pandangan itu mampu mencairkan hati pendeta berkenaan yang ternyata sedang dikuasai kemarahan.

“Tidak adakah pilihan lain?” tanya raja itu sejurus kemudian.

Sukracharya mengangkat dagu dengan megah dan menggeleng-gelang sambil berdiri bercekak pinggang. Pada saat itu, bagaikan pendeta berkenaan adalah raja yang paling berkuasa manakala Vrishaparva seorang hamba yang paling hina.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/09/15/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-49/

No comments: