Monday, July 15, 2013

Mahabharata – Bahagian 39

FEATURE Hassan dan Hussain masih belum puas mendengar pelbagai kisah daripada teks Razmnameh versi Bahasa Parsi yang dijadikan asas penceritaan oleh datuk.

Pasangan kembar itu terus teruja untuk mengetahui lebih banyak cerita yang disedut dari epik Mahabharata.

Datuk meneruskan cerita mengenai golongan sura atau vasu (dewa) dan asura (makhluk halus) yang merupakan dua golongan yang terlibat dalam perang saudara di kayangan untuk berebut hak menguasai ketiga-tiga dunia.

Golongan dewa mendapat panduan, bimbingan dan nasihat daripada Maharishi Brihaspati iaitu pakar veda yang disegani dan digeruni penduduk langit dan bumi.

Sementara itu, golongan asura yang sering dianggap sebagai pengacau dan menimbul masalah kepada golongan dewa pula mendapat bimbingan daripada Maharishi Sukracharya.

 “Walaupun golongan dewa, vasu atau sura dalam tradisi India sering diberikan imej positif dan dianggap sebagai wira dalam perang bersama golongan asura, pihak yang satu lagi juga mempunyai keistimewaan positif yang tidak dimiliki lawannya,” kata datuk.

“Keistimewaan apakah itu, datuk?”

 Hussain dan Hassan bertanya hampir serentak dengan penuh rasa ingin tahu. “Sukracharya menguasai suatu mantera rahsia yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. Mantera itu dinamakan Sanjivini,” datuk menjelaskan sebelum meneruskan cerita.

 Perang saudara antara golongan vasu dan asura menyebabkan banyak nyawa terkorban. Walau bagaimanapun, Sukracharya menggunakan mantera Sanjivini untuk menyelamatkan mereka.

 Pada setiap kali mantera ajaib itu dilafazkan tanpa suara, mana-mana asura yang terkorban segera hidup semula! “Kalau perkara ini berterusan, kita yang menanggung kerugian dari segenap sudut,” kata ketua golongan vasu pada suatu hari.

“Tentera kita terkorban dan mencapai nirwana tetapi tentera asura pula terkorban dan hidup semula untuk meneruskan peperangan.” Perbincangan diadakan oleh golongan vasu untuk memikirkan cara terbaik bagi menangani situasi yang dianggap berat sebelah dan tidak adil itu.

Seperti biasa, apabila kuasa dan kelebihan berada pada pihak yang satu lagi, maka dilabel sebagai berat sebelah dan tidak adil. “Perang mestilah adil tetapi apa yang berlaku sekarang adalah tidak adil sama sekali.

Maka, kita berhak menggunakan apa sahaja cara – sama ada beretika atau tidak berintegriti – untuk memastikan kita juga mendapat hak yang sama.”

Demikian kata seseorang dalam kalangan vasu dan dipersetujui sebulat suara oleh semua yang terlibat dalam perbincangan. Maka, dibincangkan pula perihal apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan “hak” yang sama.

“Kita perlu tahu apakah mantera yang dikuasai dan dilafazkan oleh Sukracharya dalam hatinya. Dengan cara itu, kita juga akan mampu menghidupkan semula tentera vasu yang terkorban dalam perang saudara ini,”
kata seseorang.

“Bukankah lebih sesuai jika langkah-langkah diambil untuk menamatkan perang saudara ini? Tambahan pula, golongan sura dan asura adalah adik-beradik tiri.

 Bukankah lebih baik jika kita berdamai dan memikirkan soal kelangsungan hidup di ketiga-tiga dunia?”

Pandangan yang dikemukakan oleh seorang lagi vasu tidak mendapat reaksi mahupun sokongan sesiapa.

Sebaliknya, masing-masing lebih berminat untuk mengetahui rahsia mantera yang dimiliki oleh Sukracharya.

Akhirnya, para vasu pergi bertemu Brihaspati iaitu penasihat mereka. Namun, pada kali ini, mereka tidak pergi untuk meminta nasihat dan panduan.

Sebaliknya untuk meminta bantuan dan memberikan arahan. “Mesyuarat para dewa sudah memutuskan bahawa Kacha iaitu anak Brihaspati perlu dihantar untuk berguru pada Sukracharya,” kata ketua golongan dewa dengan tegas di hadapan maharishi itu dan anaknya.

“Bukankah saya boleh sahaja berguru pada ayah saya yang ilmunya sama tara dengan Sukracharya?” Kacha bertanya dengan penuh hairan -


Source :http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/07/07/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-39/

No comments: