Monday, July 15, 2013

Mahabharata – Bahagian 38

FEATURE Kebimbangan dalam diri Raja Drupada tetap tidak reda selepas kalungan malai bunga teratai yang pernah diberikan oleh Dewa Subramaniam kepada Puteri Amba berjaya dimusnahkan.

“Mujurlah aku tidak ada putera. Kalau tidak, mungkin putera itu memakai kalungan bunga berkenaan dan akan menjadi musuh yang bercita-cita membunuh Bhisma. Mujurlah.”

Sebagai langkah berjaga-laga, Drupada memutuskan untuk menghantar puterinya ke dalam hutan untuk bertapa. Sesungguhnya hanya golongan lelaki yang biasanya dihantar tetapi entah mengapa Drupada mendapat ilham untuk berbuat demikian.

Puteri yang masih kanak-kanak itu bersetuju dengan saranan dan arahan ayahnya. Dia sendiri tidak tahu dan tidak sedar bahawa dirinya merupakan kelahiran semula Puteri Amba yang membunuh diri untuk lahir semula bagi membalas dendam ke atas Bhisma.

Apabila sampai di dalam hutan, tanpa membuang masa, puteri itu memulakan pertapaannya. Dia yang sebelum ini bersikap keanak-anakan secara tiba-tiba sahaja sudah mula menunjukkan ciri-ciri kedewasaan dan kematangan fikiran.

Dewa Shiva yang muncul di hadapan Amba dahulu mengikuti perkembangan puteri itu dengan teliti. Dewa berkenaan tahu bahawa kelahiran semula Amba adalah semata-mata untuk membalas dendam terhadap Bhisma.

Pada masa yang sama, puteri itu juga sudah memakai kalungan bunga yang diberikan oleh Dewa Subramaniam dahulu. Sepatutnya mana-mana putera yang memakainya akan memusuhi Bhisma dan berusaha membunuhnya.

 “Semuanya berlaku seperti direncanakan,” fikir Dewa Shiva sambil tersenyum simpul. Masa terus berlalu. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Puteri berkenaan pula begitu khusyuk melakukan pertapaan tanpa menghiraukan apa-apa sahaja yang berlaku di sekelilingnya.

“Semoga Tuhan menjadi petunjuk kepada saya,” fikirnya dengan pasrah apabila mula menyedari bahawa kelahirannya bukan untuk menikmati hidup sebagai seorang puteri yang mewah. Beberapa tahun kemudian, beberapa orang alim yang turut bertapa di dalam hutan berkenaan mula kehairanan.

 Mereka menyedari bahawa puteri yang bertahun-tahun lamanya bertapa di bawah sebatang pohon sudah bertukar menjadi lelaki! Puteri itu pula meneruskan pertapaannya kerana rupa fizikal dan jantina tidak lagi menjadi persoalan kepada individu seperti dirinya yang sudah mendekati Tuhan dan bersedia melepaskan ikatan keduniaan.

Pada suatu pagi, Dewa Shiva menjelma di hadapan puteri itu yang sedang duduk dalam rupa fizikal seorang lelaki. “Bukalah mata, wahai pertapa!” Apabila mendengar arahan itu, puteri berkenaan membuka kedua-dua mata.

Dia begitu teruja melihat Dewa Shiva menjelma di hadapannya. “Kau kini bukan lagi seorang puteri. Sebaliknya kau sudah bertukar menjadi lelaki yang bakal melaksanakan tugas yang mahu kau lakukan sejak kelahiran lalu.”

Secara tiba-tiba sahaja pemuda berkenaan mampu mengingati segala kisah silam. Dendam terhadap Bhisma semakin meluap. “Aku namakan kau sebagai Sikhandin. Pergilah sertai pasukan tentera Pandava apabila tiba masanya dan hasrat kau akan tercapai,” kata Dewa Shiva sebelum ghaib daripada pandangan mata kasar.

Dipendekkan cerita, puteri yang merupakan kelahiran semula Amba dan kini bertukar menjadi seorang pemuda dengan nama Sikhandin menyertai tentera Pandava yang diketuai oleh Yudhisthira.

Semasa perang berlangsung antara Pandava dan Kaurava di Kurushetra, Sikhandin menjadi menunggang rata iaitu kenderaan perang milik Arjuna, adik Yudhisthira. Puluhan anak panah mengena tubuh Bhisma sehingga menyebabkan putera kepada Dewi Gangga itu terpelanting dari rata yang ditunggang.

Tubuhnya juga tidak mengena tanah disebabkan seluruh badan terkena tusukan anak panah dari segala penjuru. Soalnya: Anak panah siapakah yang sebenarnya bakal menyebabkan Bhisma menghembuskan nafas terakhir?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/06/30/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-38/

No comments: