Monday, July 15, 2013

Mahabharata – Bahagian 37

FEATURE Raja Drupada sentiasa teringat akan Puteri Amba pada setiap kali baginda melihat kalungan bunga teratai segar yang tergantung pada pagar istana.

Drupada agak hairan mengapa bunga berkenaan tidak layu walau sedikit pun selepas berbulan-bulan lamanya.

Namun, baginda tidak membiarkan perkara ini mengganggu fikiran. Baginda mendapat tahu bahawa Amba telah membunuh diri dengan melompat ke dalam unggun api di Banjaran Himalaya.

Punca puteri itu berbuat demikian masih menjadi misteri yang semakin dilupakan orang. Tidak lama kemudian, permaisuri melahirkan seorang puteri yang comel.

Drupada terasa amat gembira menerima kedatangan puteri berkenaan. Maka anak itu dipelihara dan dibesarkan dengan penuh kasih-sayang dan cinta. Beberapa tahun kemudian, pengasuh istana membawa kanak-kanak itu berjalan-jalan di sekitar istana.

Si puteri terpandang akan karangan malai bunga teratai yang tergantung pada pagar. Tanpa meminta izin sesiapa, puteri itu segera mengambil karangan bunga dan mengalungkannya pada leher.

Dia terasa amat gembira kerana kelopak bunga-bunga teratai itu masih segar dan lembut. Pengasuh istana terperanjat melihat insiden berkenaan. Maka segera dilaporkan kepada Drupada sambil memohon keampunan kerana berlaku cuai semasa menjaga puteri berkenaan.

Seperti lazim, anak-anak golongan raja dan bangsawan serta orang kaya bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu berfikir menggunakan otak.

Para pengasuh, penjaga dan pengawal pula yang dianggap bertanggungjawab sepenuhnya memastikan anak-anak yang dimanjakan itu tidak melakukan apa-apa perkara buruk.

Misalnya, tidak memakan tahi sendiri selepas membuang air besar. Mujurlah Drupada tidak marah. Sebaliknya baginda segera teringat akan kisah Amba yang sudah semakin pudar daripada ingatan.

Menurut puteri itu dahulu, mana-mana putera yang memakai kalungan bunga teratai itu akan memerangi Bhisma dan membunuhnya. “Aku sepatutnya telah membuang dan melupuskan kalungan bunga itu beberapa tahun dahulu; sebaik sahaja ditinggalkan oleh Amba.

Atau selepas mendapat berita tentang kejadian puteri itu membunuh diri dengan cara terjun ke dalam unggun api.” Demikian fikir Drupada sambil memeluk puterinya dengan penuh kasih. Baginda berusaha menanggalkan kalungan bunga berkenaan tetapi tidak dibenarkan oleh si puteri yang manja.

Akhirnya, selepas dipujuk dan disogokkan dengan manisan dan barang permainan, puteri itu bersetuju untuk menanggalkannya. Malah, anak kecil itu sudah mula bosan memakai karangan bunga itu. Segera kalungan bunga teratai itu diarahkan supaya dibakar.

Drupada tidak mahu berdepan dengan risiko lain yang mungkin menanti. Walau bagaimanapun, baginda terasa lega dan bersyukur kerana anaknya adalah seorang puteri. “Bayangkan jika anak aku ini seorang putera! Menurut Amba dahulu, karangan bunga teratai berkenaan diberikan oleh Dewa Subramaniam.

Mana-mana putera yang memakainya akan menjadi musuh kepada Bhisma dan akan berusaha membunuh Bhisma,” fikir Drupada.

Apa yang tidak diketahui oleh Drupada dan sesiapa pun adalah bahawa si puteri itu sebenarnya adalah inkarnasi atau kelahiran semula Amba! Apa yang diketahui umum adalah mengenai kejadian Amba membunuh diri dengan melompat ke dalam unggun api.

Akan tetapi, sebelum itu, puteri berkenaan bertapa di Himalaya dengan penuh khusyuk. Akhirnya Dewa Shiva muncul di hadapannya dan bersetuju untuk memperkenan satu permintaan yang dikemukakan oleh Amba.

Tanpa berfikir panjang, Amba menyatakan bahawa dia mahu diberikan peluang membunuh Bhisma.

“Bermacam-macam cara sudah saya cuba. Tidak ada seorang pun putera atau raja yang cukup berani untuk menghapuskan Bhisma. Maka, saya mahu diberikan kuasa dan kekuatan untuk membunuh putera itu dengan tangan saya sendiri!”

Dewa Shiva mengurniakan peluang yang dipohon oleh Amba. Bagaimanapun, peluang untuk Amba membunuh Bhisma hanya akan datang pada kehidupan seterusnya; iaitu apabila Amba meninggal dunia dan lahir semula mengikut sistem kepercayaan Hindu.

Amba pula tidak mampu bersabar. Atas sebab itulah dia memasang unggun api dan melompat ke dalamnya untuk membunuh diri. Dia mahu segera lahir semula dan membalas dendam terhadap Bhisma.

Apa yang tidak diketahui oleh Amba adalah bahawa perbuatan membunuh diri mungkin bakal memberikan kesan terhadapnya pada kelahiran seterusnya; iaitu apabila dia lahir sebagai puteri kepada Drupada


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/06/23/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-37/

No comments: