Monday, May 28, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 32


Aku memegang syamsir; bersedia menghadapi segala kemungkinan. Aku amati lembaga itu.
Indrajitkah itu yang sedang berdiri di hadapanku? Berdada bidang dan berwajah seseri bulan purnama. Amat jauh bezanya berbanding penampilan diri Ravana. Indrajitkah itu?

“Siapakah gerangannya yang datang ini?”

“Indrajit anak Ravana!”

“Indrajit?” Aku berdiri mendepaninya. Bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Indrajit melihat sekeliling. Para tentera Rama dan Surgiwa tidur bergelimpangan.

“Kau tentunya Hanuman.”

Ya, akulah Hanuman anak Rama!

“Ya, sayalah Hanuman.”

“Aku pernah bertemu isteri dan anak kau.”

“Isteri saya? Suvarchala Devi? Dan anak saya?”

“Benar. Suvarchala Devi dan Tamnat Gangga.”

“Tamnat Gangga? Anak saya?”

Hanya Tuhan yang tahu akan perasaanku pada saat itu. Aku sudah bergelar bapa! Tamnat Gangga. Wiranya nama itu. Tamnat Gangga anak Hanuman.

Mahu rasanya aku memeluk Indrajit yang menyampaikan khabar gembira itu. Tapi segera aku teringat di pihak mana Indrajit berada.

“Bagaimana kau tahu?”

“Lupakah kau, wahai Hanuman, bahawa aku ini putera kayangan? Aku menemui isteri kau sebelum turun ke bumi apabila dijemput oleh ayahku. Suvarchala Devi minta aku sampaikan salam kepada kau.”

“Melalui kau?” Aku merenung tepat ke wajah Indrajit yang kurang jelas di bawah cahaya kelam. “Tidakkah dia tahu bahawa kita berdua berada di pihak yang bertentangan?”

Indrajit ketawa kecil. Kemudian memegang bahuku. Aku tepis. Tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dia sangka kita berdua berada di pihak yang memperjuangkan kebenaran. Malah, sebelum turun ke bumi, aku sendiri pun tidak tahu siapa yang berada di pihak yang benar. Aku telah benar-benar yakin bahawa ayahku menjemput aku datang untuk memerangi pihak yang bersalah. Tapi kini ternyata aku silap. …”
Aku merenung Indrajit. Bingung.

“Kau sedar bahawa Ravana yang bersalah dalam hal ini?”
Indrajit memandang tepat ke wajahku. Mengangguk.

“Dan kau masih memihak padanya?”

“Aku terpaksa.”

Indrajit merenung ke dalam mataku. Aku nampak matanya yang sayu dan layu.

“Aku telah cuba memujuk ayahku agar mengembalikan Sita. Tapi ayahku tetap berkeras. Katanya, ada naluri dalaman yang mendesaknya supaya memisahkan Sita daripada suaminya. Ada suara hati yang mendesaknya supaya menyeksa Rama secara itu.”

Aku terdiam. Suara apakah itu? Naluri dalaman yang bagaimanakah itu?

“Mengapa kau tidak pujuk Ravana sekali lagi?”

Indrajit ketawa mendengar pertanyaanku.

“Kau fikir ayahku akan mengalah sekarang? Setelah kehilangan sekian ramai anaknya? Kau fikir Ravana, raja keturunan Arya itu akan menyerah tanpa bertarung hingga ke titisan darah terakhir?”

Indrajit. Di pihak manakah dia sebenarnya?

“Kau memihak pada siapa sebenarnya?”

“Ravana.”

“Kau tahu siapa yang bersalah?”

“Ravana.”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/27/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-32/

No comments: