Monday, May 21, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 30


“Persetankan kera itu!”

“Dia anak kau,” kataku yang sedang menyamar sebagai maharishyi.

“Masakan seekor kera boleh aku akui sebagai anak. Malu!”

“Hanya dia akan dapat membantu kau membunuh Ravana. …”

“Kau kenal siapa aku? Akulah Rama, wira yang tiada tandingannya di mayapada! Kepala Ravana akan aku cantas dengan mudah tanpa bantuan sesiapa; terutama kera itu!”

Aku mengghaibkan diriku daripada mimpi ayah. Aku menjelma semula di sisi ayah yang sedang tidur. Aku mengangkat ayah dan menerbangkannya pulang ke khemah. Letchumanen membaringkan ayah di atas peraduan. Ayah masih terlena.

Hanya pada pagi keesokannya, dia membuka mata. Katanya, dia tidak sedar langsung bahawa dia telah dilarikan oleh Patala Maharayan pada malam sebelumnya.

Cuma, katanya, dia bermimpi bertemu seorang maharishyi. Butir mimpi itu tidak pula diceritakannya kepada sesiapa.

Pada sebelah petang hari berkenaan, aku sedang duduk sendirian di dalam khemah setelah selesai bersembahyang. Letchumanen mendatangiku.

“Aku mahu memberi amaran kepada kau,” katanya sebelum aku sempat menjemputnya duduk. “Kau jangan cuba mengambil tempat di hati Rama. Kau jangan lupa siapa diri kau. Kau anak kera. Jangan cuba menunjukkan kehebatan kau di hadapan Rama.”

Letchumanenkah itu? Benarkah dia yang sedang berkata-kata itu? Aku terpaku.

“Hai, Hanuman! Aku tahu apa rancangan kau. Kau fikir Rama akan mengangkat kau menjadi penggantinya suatu hari nanti, bukan? Itu hanyalah angan-angan. Jangan kau lupa bahawa akulah pengikut Rama yang paling setia.”

Aku tidak mampu berkata apa-apa.

“Aku adik kandung Rama. Jika dia mati dalam perang ini, aku yang akan menjadi penggantinya. Kau jangan lupa siapa diri kau. Mungkin benar Rama menganggap kau sebagai anak angkatnya. Tapi jangan pula kau lupa asal-usul diri kau.”

Asal-usul diriku? Aku tahu asal-usulku. Bukankah aku Hanuman, kera yang diutuskan Tuhan menjadi anak Rama? Aku tahu siapa ibu bapaku. Kau pun tahu, Letchumanen.

“Jangan lupa bahawa kau adalah kera. Asal-usul kau daripada kera. Ibu bapa kau adalah kera!”

“Tidak!”

Aku sendiri tidak sedar bahawa aku telah menjerit terlalu kuat. Ayah, Anbala dan Ankada masuk ke dalam khemah.

“Ada apa, Hanuman?”

Aku menggeleng. Bingung. Letchumanenkah itu tadi? Aku memandang sekeliling. Tiada.

“Letchumanen?” Tanyaku penuh ragu.

Melihat akan mukaku yang dibasahi peluh, Anbala mula mengipas. Ankada menghulurkan secangkir air.

“Mana Letchumanen?” Tanyaku lagi.

“Dia sedang melakukan yoga di dalam khemahnya.” Ayah memegang bahuku. “Kenapa dengan kau?”
Aku terpaksa menggeleng sahaja.

No comments: