Saturday, May 19, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 29


Keesokan harinya, entah mengapa Rama menukar rancangan. Anbala dan Ankada pula yang ditugaskan pergi menentang Jaya Sri dan Sura Bala.

Hilanglah peluangku untuk bersama-sama ayah. Hilanglah peluangku untuk membuktikan kepada ayah bahawa dia tidak perlu berasa malu untuk mengakui aku anaknya. Hilanglah peluangku untuk menunjukkan keupayaanku yang dianugerahkan oleh Dewata.

Lewat malam yang sama, aku duduk termenung di dalam khemahku. Rama tidur nyenyak di dalam khemahnya. Aku telah mengarahkan Sang Potak supaya berkawal di luar khemah Rama.

Surgiwa ada mengatakan bahawa dia dapat merasakan kemungkinan berlaku sesuatu yang kurang baik pada malam itu jika kami tidak berhati-hati. Sebab itulah aku menempatkan Sang Potak di luar khemah ayah sebagai langkah berjaga-jaga. Tentu ayah selamat sekarang.

Tiba-tiba, datang Sang Potak ke khemahku dan mengatakan bahawa Rama telah dilarikan oleh Patala Maharayan yang datang menyamar sebagai diriku.

“Bagaimana kamu boleh tertipu dengan begitu mudah?”

“Aku sangka engkau yang datang, Hanuman.”

Kecut Sang Potak yang tertipu oleh penyamaran Patala Maharayan yang sudah berjaya melarikan ayah. Rupa-rupanya, dalam diam, Ravana telah mengutuskan anaknya untuk menculik Rama.

Aku segera berlari ke arah hutan. Sekali lompat, aku sudah berada di tengah hutan. Sesampai di negeri Panggala, Patala Maharayan sedia menanti di pintu gerbang kota dengan jelmaan lima ratus kepala dan seribu tangan.

Istana itu asalnya adalah tempat bersemayam Ravana. Setelah Ravana membina istana baru di Langkapuri, istana lama ini diserahkannya kepada Patala Maharayan, anak sulungnya.

Aku membesarkan diriku sebesar mungkin sehingga akhirnya raksasa Patala Maharayan hanya sebesar penumbuk kiriku. Dengan izin Tuhan, sekali pijak sahaja, raksasa itu mati.

Ayah masih terlena di dalam istana Patala Maharayan. Aku menatap wajah ayah lama-lama. Sepuas hati. Jernihnya wajah itu.

Mengapa ayah, terlalu hinakah aku sehingga ayah tidak sanggup menerima aku senagai seorang anak?
Air mata dari mata hijauku gugur tanpa kusedari, lalu menimpa kelopak mata ayah yang masih terkatup. Segera kukesat.

“Siapakah engkau, wahai maharishyi?”

“Kau sudah lupa? Akulah yang datang menemui kau setelah isteri kau dilarikan Ravana dahulu.”
“Mengapa kau kembali dalam mimpiku?”

Aku ketawa di sebalik penyamaranku sebagai maharishyi.

“Aku mahu mengingatkan kau bahawa semua ini adalah dugaan Dewata Mulia Raya berikutan dosa engkau membuang anak kau yang masih memerlukan kasih sayang.”

“Tapi, dia tinggal bersama-samaku kini.”

“Namun belum juga kau akui sebagai anak.”

“Dia sudah besar sekarang. Boleh hidup sendiri.”

“Tapi dia memerlukan kasih sayang kau.”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/19/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-29/

No comments: