Monday, July 22, 2013

Mahabharata – Bahagian 41

Hari sudah petang tetapi kelibat Kacha belum kelihatan. Devayani, iaitu anak gadis Maharishi Sukracharya, mula risau.

Biasanya, menjelang petang begini, pemuda bertubuh sasa itu akan pulang bersama-sama beberapa lembu yang dibawa ke padang ragut.

“Mungkinkah sesuatu perkara buruk telah menimpa kekasihku?” fikir gadis itu dengan penuh kerisauan dan asyik mundar-mandir di ashram (asrama) milik Sukracharya di Vrishaparva.

Hari sudah senja tetapi Kacha, anak Maharishi Brihaspati yang datang berguru dengan Sukracharya, tetap belum pulang. Kebimbangan Devayani sudah tidak tertahan.

“Ayah! Saya bimbang memikirkan kemungkinan sesuatu yang buruk sudah menimpa Kacha,” kata gadis itu kepada bapanya yang merupakan penasihat kepada golongan asura.

Sukracharya termenung seketika memikirkan apa yang mungkin telah berlaku kepada anak muridnya iaitu anak kepada Maharishi Brihaspati, penasihat golongan vasu (dewa).

Maharishi itu memejamkan mata dan membaca beberapa baris mantra (mantera) dalam Bahasa Sanskrit. Gambaran sekumpulan asura membunuh Kacha dan mengerat mayatnya menjadi ketulan kecil muncul dalam minda.

Maka tahulah Sukracharya bahawa ketulan tulang dan daging mayat Kacha sudah diberikan kepada segerombolan anjing jalanan.

Pendeta berkenaan tidak sampai hati untuk mendedahkan situasi sebenar yang ganas itu kepada anak gadisnya.

Bibir Sukracharya terus terkumat-kamit membaca mantera Sanjivini tanpa suara. Mantera ajaib itu mampu menghidupkan orang yang sudah meninggal dunia.

Maka, sejurus kemudian, Kacha kelihatan berjalan menuju ke ashram bersama-sama sekumpulan lembu yang dibawa ke padang ragut pada sebelah pagi. Devayani terasa amat lega, gembira dan bersyukur.

“Apa yang berlaku? Kenapa lambat pulang?” tanya gadis itu sambil berusaha mengawal dirinya daripada memeluk pemuda berkenaan di hadapan bapanya.

“Entahlah. Rasa-rasanya ada orang menyerang saya di padang ragut. Mungkin saya pengsan. Tiba-tiba saya terbangun tadi dan melihat lembu-lembu berdiri di sekeliling. Maka, saya pun terus pulang,” Kacha berterus-terang kerana memang dia tidak ingat apa yang benar-benar berlaku.

Beberapa hari kemudian, Devayani meminta Kacha mendapatkan sejambak bunga yang tubuh liar di hutan.

Pemuda itu pun pergi dengan gembira kerana mahu memenuhi permintaan dan keinginan buah hatinya.

Tiba-tiba, Kacha diserang hendap oleh sekumpulan asura yang sedia menanti di pinggir hutan. Mereka ternyata tidak berputus asa dalam usaha menghapuskan pemuda itu yang disyaki datang untuk merosakkan hati Devayani dan mencuri rahsia mantera Sanjivini.

Selepas dibunuh dengan kejam, mayat si pemuda dilumatkan hingga benar-benar hancur. Kemudian, cebisan dan kepingan yang sudah hancur itu dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dibawa ke tepi laut.

Kumpulan asura tersebut membuang guni berisi mayat Kacha yang sudah hancur itu ke dalam laut yang masin.

Menjelang senja, Devayani mulai risau sekali lagi. Bagaimanapun, dia tidak berani memberitahu ayahnya bahawa Kacha pergi ke hutan untuk mendapatkan bunga untuknya.

Sebaliknya, dia hanya mengadu bahawa pemuda itu belum pulang ke asrama.

Sukracharya memejamkan mata dan membaca mantra. Dia ternampak gambaran guni berisi tubuh Kacha yang sudah hancur dibuang ke dalam laut.

Sekali lagi pendeta itu membaca mantera Sanjivini dalam hati. Tidak lama kemudian, Kacha pulang dan menceritakan bahawa dia diserang di pinggir hutan tetapi dia tidak ingat apa-apa yang berlaku atau siapa yang menyerangnya.

Beberapa hari kemudian, semasa membawa lembu ke padang ragut, Kacha diserang sekali lagi. Pada kali ini, kumpulan asura mengerat mayatnya sebelum dihancurkan sehingga lumat.

Kemudian, mayat yang hancur itu dibakar sebagaimana jenazah dibakar mengikut budaya India dan agama Hindu. Abu mayat dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam bekas kecil.

“Bawa abu ini dan campurkan ke dalam minuman Sukracharya,” ketua asura mengarahkan.



Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/07/21/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-41/

No comments: