Monday, July 22, 2013

Kisah Viratam

Dalam kalangan masyarakat India-Hindu di Malaysia, istilah "viratam" (Bahasa Tamil) lazimnya digunakan untuk membawa maksud "puasa". Misalnya, seseorang mungkin berkata "Saya viratham pada hari ini".

Namun begitu, seorang individu beragama Hindu tidak digalakkan - serta tidak akan - mempublisitikan serta menghebohkan kepada seluruh dunia bahawa dia sedang berpuasa.

Hal ini adalah demikian kerana dalam ajaran agama Hindu, berpuasa adalah niat yang melibatkan individu terbabit dengan Tuhan. Sikap menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan memberitahu (baca:
menghebohkan kepada) orang ramai bahawa seseorang sedang berpuasa boleh membatalkan "niat" puasa itu sendiri.

Makalah ini bertujuan memberikan sedikit maklumat umum mengenai puasa yang diamalkan oleh penganut agama Hindu tanpa menyentuh - apatah lagi mempersenda - amalan puasa dalam mana-mana tradisi atau agama lain.

Atas sebab itulah juga saya tidak menggunakan istilah "noonbu" (Bahasa Tamil) yang lazimnya digunakan apabila merujuk kepada ibadat puasa dalam kalangan penganut agama Islam.

Menurut Kamus Bahasa Tamil - Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris (Fajar Bakti,1997), "noonbu" juga disebut "tavam" yang membawa makna "penebusan dosa" (penance) dan "pertapaan berdasarkan peraturan agama yang ketat" (meditation with religious austerities).


Sementara itu, "viratam" dihuraikan sebagai "berpuasa" (fasting), "janji, ikrar yang sungguh-sungguh" (solemn vow), "pertapaan, renungan yang mendalam" (penance), "tidak suka" (dislike) serta "berhenti daripada" (desisting).

Huraian yang pelbagai ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa konsep "berpuasa" atau "viratam" dalam kalangan penganut agama Hindu terdapat dalam pelbagai bentuk dan dilaksanakan pula dengan pelbagai cara.

Dari segi istilah, "viratam" berasal daripada perkataan "vrata" (Sanskrit) yang membawa makna "janji, ikrar, nazar, niat" dan biasanya merujuk kepada sesuatu perbuatan yang dilakukan dengan tujuan mendapat "anukiragam" (anugerah) iaitu limpah kurnia Tuhan.

Harus ditekankan bahawa tidak ada apa-apa peraturan ketat dan syarat wajib untuk mana-mana penganut agama Hindu berpuasa. Sebaliknya, viratam adalah atas pilihan sendiri berdasarkan "janji, ikrar, nazar, niat" kepada Tuhan.

Bentuk puasa dan cara berpuasa juga adalah pelbagai dan berbeza mengikut pilihan individu, mazhab, budaya, amalan keluarga dan kemampuan diri. Hal ini penting kerana tidak ada sesiapa "dipaksa" melakukan sesuatu yang di luar kemampuan diri - sama ada secara fizikal, mental atau spiritual.

Tujuan utama seorang penganut agama Hindu berpuasa adalah untuk mengurangkan "keselesaan fizikal" dan sebaliknya meningkatkan tumpuan kepada Tuhan dengan tujuan memperoleh anukiragam.

Sekiranya amalan agama Hindu yang diasaskan sekitar tahun 2500 Sebelum Masehi (lebih 4,500 tahun dahulu) diteliti, maka kita akan mendapati bahawa tujuan berpuasa adalah beraneka dan cara berpuasa juga adalah pelbagai.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana "puasa" dilakukan atas "pilihan" dan bukan kerana "arahan/paksaan".
Ada individu yang melakukan viratam untuk memulihkan kesihatan atau memperoleh wang/harta/rezeki.

Ada pula yang berpuasa dengan niat mahu mendapat anak, mahu meminta pertolongan Tuhan atau mendapatkan petunjuk-Nya pada saat-saat sedang melalui rintangan/cabaran dalam kehidupan.

Apa yang dilakukan - atau tidak dilakukan - oleh seorang penganut agama Hindu yang berpuasa mungkin berbeza dengan penganut agama-agama lain.

Hal ini tidaklah menghairankan atau menjadi kesalahan kerana sebagai agama tauhid pertama di dunia, amalan dalam agama Hindu memang beraneka dan sangat anjal.

Pelbagai bentuk puasa dalam agama Hindu

Salah satu cara berpuasa adalah dengan tidak makan-minum dari waktu matahari terbit hingga matahari terbenam. Pada waktu senja, hanya selepas mandi, bersembahyang dan melakukan upacara pemujaan khas, barulah individu yang berpuasa itu ("virathan" atau "virathi") berbuka puasa sekadar minum segelas susu dan sedikit buah-buahan.

Tiada sebarang "jamuan" besar-besaran sepanjang malam!

Bagi individu yang merasakan dirinya terlalu sukar untuk tidak makan sepanjang hari, maka dia boleh memilih (berniat) untuk melakukan viratam dengan cara makan masakan nabati (saivam atau vegetarian) sepanjang tempoh berpuasa.

Bentuk puasa ini biasanya menjadi pilihan golongan non-vegetarian pada hari Selasa, Khamis, Jumaat atau Sabtu.

Satu lagi bentuk viratam yang tiada kaitan dengan makanan adalah "mauna viratam" iaitu menahan diri daripada bercakap sepanjang tempoh berpuasa.

Walau bagaimanapun, bentuk puasa ini bukan sekadar bermakna individu berkenaan tidak bercakap dengan sesiapa.

Sebaliknya, masa sepanjang hari digunakan untuk mengucapkan mantra (mantera), membaca kitab suci dan melakukan pooja (upacara pemujaan). Semuanya dilakukan dengan senyap (dalam hati) tanpa suara.

Untuk rekod dan bagi mengelakkan salah faham, mantra (Sanskrit) adalah kata-kata, doa dan ayat-ayat suci yang diucapkan untuk memohon restu dan anugerah Tuhan.

 Dalam konteks agama Hindu dan budaya India, mantera ditujukan hanya kepada Tuhan; bukan kepada unsur-unsur lain seperti diamalkan dalam budaya lain.

Jumlah hari seseorang berpuasa adalah berbeza dan bergantung sepenuhnya pada vrata iaitu niat masing-masing. Puasa sempena Chaturthi, Shasti, Agathasi, Pournami dan Amavasai biasanya sehari sahaja.

Contoh berpuasa beberapa hari termasuk sempena Kandha Shahsti (6 hari), Navaratri (9 hari), Thiruvempavai (10 hari) dan Vinayaka Viratam (21 hari). Cara berpuasa bergantung kepada pilihan individu.

Biasa pula puasa ini dilakukan secara berkumpulan supaya lebih seragam dan ada disiplin diri.

Satu lagi bentuk viratam yang berasal dari bahagian utara India adalah "Karwa Chauth" di mana golongan isteri berpuasa demi kesejahteraan, kesihatan, kemakmuran dan usia suami masing-masing pada bulan Karitigei (November-Disember).

Wanita terbabit berpuasa sejak matahari terbit dan hanya berbuka puasa pada waktu malam selepas memandang bulan di langit menerusi ayak (sieve).

Bagi "memudahkan" amalan berpuasa, penganut agama Hindu biasanya mengaitkan viratam dengan dewa-dewi mengikut mazhab masing-masing.

Misalnya, pengikut Dewa Shiva ketara memilih untuk berpuasa pada hari Isnin; pengikut Dewa Ayyapa pada Sabtu; pengikut Dewa Vishnu pada Khamis; pengikut Dewi Mariamman dan Dewa Hanuman pada Selasa.

Selalu juga penganut agama Hindu berpuasa menjelang sesuatu perayaan agama atau upacara di kuil. Biasanya individu berkenaan berpuasa selama 48 hari sebelum tarikh upacara dan menyambungnya selama sekitar seminggu selepas itu.

Untuk rekod, selain daripada larangan makanan berasaskan daging dan makanan laut, individu yang berpuasa juga ditegah minum arak atau mengadakan hubungan seks sepanjang tempoh berpuasa. Larangan ini juga berkuatkuasa selepas waktu berbuka puasa.

Teks purana turut menjadi panduan untuk membantu penganut agama Hindu memilih bentuk puasa yang sesuai dengan diri dan keperluan individu.

Terdapat misalnya "manasu viratam" yang bertujuan membantu individu terbabit mengawal minda, hati, jiwa, perasaan, nafsu dan prasangka supaya dapat mencapai penjernihan jiwa.

Bentuk puasa yang lebih bersifat fizikal adalah "kayikam viratam" yang menekankan aspek tidak makan, tidak tidur, mandi banyak kali dan sebagainya.

Walaupun ada pelbagai bentuk dan cara viratam dalam agama Hindu, secara lazimnya di Malaysia, puasa yang sering dirujuk adalah amalan tidak makan dan minum pada waktu siang.

Apa-apa pun, jika anda mengajak seorang rakan beragama Hindu untuk makan dan dia menjawab "Saya viratham pada hari ini" maka ketahuilah bahawa bentuk puasa yang dimaksudkannya mungkin sahaja tidak sama dengan apa yang anda fahami selama ini.


Source : http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/kisah-viratam

No comments: