Tuesday, June 18, 2013

Mahabharata – Bahagian 36

Sepanjang perjalanan pulang ke Hastinapura, perasaan marah, kecewa dan dendam meluap-luap dalam jiwa Puteri Amba. Dia kecewa kerana kalungan bunga teratai segar yang diberikan oleh Dewa Subramaniam tidak diterima oleh Raja Drupada.

“Aku pasti bahawa akan ada seseorang mengambil karangan bunga yang digantung pada pagar istana,”

fikirnya sambil menggenggamkan tangan bagi mengawal perasaan marah terhadap Bhisma dan Putera Salva.
Amba memutuskan untuk tidak pulang ke istana. Sebaliknya dia masuk ke dalam hutan yang menjadi lokasi pilihan bagi sekumpulan lelaki melakukan pertapaan.

Dipendekkan cerita, kumpulan pertapa itu terasa amat simpati selepas mendengar pengalaman Amba. Mereka memahami penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh puteri berkenaan selepas berulang kali dikecewakan oleh beberapa lelaki.

“Pergilah bertemu Parasurama. Dia seorang perwira yang pasti akan bersedia untuk membantu kamu menuntut keadilan. Sesungguhnya dia ikon keadilan dan perjuangan menuntut hak.”

Demikian nasihat dan cadangan yang dikemukakan oleh rata-rata lelaki yang bertapa di dalam hutan. Maka, Amba memutuskan untuk pergi bertemu Parasurama. Memandangkan dia seorang ikon yang dikenali ramai, maka tidak sukar untuk mencarinya.

Parasurama mendengar keseluruhan kisah Amba dengan tenang dan teliti. Kemudian dia mengangguk-angguk dan menggaru-garu dagu sambil memuncungkan bibir.

“Saya rasa cara paling baik adalah dengan mengemukakan petisyen. Ternyata berlaku sesilapan dalam perkiraan yang dilakukan oleh Salva sepanjang proses yang diceritakan tadi. Ada ruang yang samar dan menimbulkan keraguan. Salva perlu mengambil kira semua perkara itu sebelum membuat keputusan yang adil dan memihak kepada kamu.”

Amba mengesat air mata sambil mendengar huraian panjang-lebar yang disampaikan oleh Parasurama dengan penuh gaya.

“Begini sahajalah. Kita cari jalan mudah. Saya ada kepakaran retorik dan daya memujuk yang diperakui ramai sebagai hebat. Apa kata saya menghubungi Salva? Saya boleh memujuknya supaya menerima kamu sebagai isteri. Walaupun kamu kini berada dalam kategori andartu tetapi saya percaya masih belum terlewat untuk kamu berdua membina hidup bahagia.”

Mendengar akan kata-kata berupa cadangan itu, Amba lantas berdiri. Dia menggeleng-geleng agak lama sementara matanya tajam merenung wajah Parasurama.

“Tidak! Saya tidak datang ke sini untuk meminta bantuan bagi memujuk sesiapa supaya mengahwini saya. Impian untuk berkahwin, melayan suami dan hidup bahagia bersama anak-anak sudah lama lenyap daripada imaginasi saya.”

Giliran Parasurama pula untuk terdiam mendengar kata-kata Amba. Ternyata perwira yang disegani itu tidak menjangkakan reaksi sedemikian daripada seorang wanita.

Akhirnya, Parasurama bersetuju untuk membantu Amba membalas dendam terhadap Bhisma yang dianggap menjadi punca utama hidup puteri itu musnah. Parasurama bersetuju untuk membunuh Bhisma.

Walau bagaimanapun, ternyata kehebatan Parasurama berucap di pentas di hadapan orang ramai sebagai seorang pejuang dan wira tidak menjadi kenyataan apabila berdepan dengan Bhisma di medan perang. Dia terpaksa mengaku kalah dengan mudah.

“Nampaknya Bhisma menggunakan teknik tertentu serta mendapat sokongan daripada pihak tertentu sehingga menyukarkan saya menuntut keadilan di medah perang. Apa-apa pun, saya masih akan memperjuangkan nasib kamu.”

Amba kurang pasti tentang maksud kata-kata Parasurama. Dipandangnya pejuang itu yang pulang selepas kalah teruk di tangan Bhisma.

“Apa kata saya membawa kamu menghadap Bhisma? Serahkan diri, jiwa dan tubuh kamu kepadanya. Sekurang-kurangnya kamu akan berjaya membalas dendam dengan menjadi isterinya.”

Tanpa membazir masa, Amba meninggalkan Parasurama. Dia pergi ke Banjaran Himalaya. Beberapa hari kemudian, tersebar berita bahawa puteri itu telah membunuh diri dengan melompat ke dalam unggun api. Orang ramai tertanya-tanya akan puncanya.


Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/06/16/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-36/

No comments: