Tuesday, June 18, 2013

Mahabharata – Bahagian 35

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Puteri Amba terus tinggal di istana Hastinapura. Saban hari, dia menangis penuh kecewa mengenangkan nasib dirinya.

Setelah pulang daripada bertemu Putera Salva di Kerajaan Saubala, Amba memujuk – malah mendesak – Bhisma supaya mengahwininya. Pada pandangan Amba, putera yang sudah beruban itulah yang memusnahkan masa depannya. Maka dialah yang patut bertanggungjawab.

Bhisma pula tidak mahu berganjak daripada sumpah dan ikrar untuk kekal bujang sampai ke hujung hayat. Dia tidak mahu janjinya bertukar menjadi janji dicapati. Maka Bhisma mengarahkan Amba pergi semula kepada Salva.

Malangnya, pada kali kedua juga puteri itu mengalami nasib yang sama. Salva tetap tidak bersedia untuk menerimanya sebagai isteri. Maka tinggallah Amba di Hastinapura dengan penuh rasa sedih, kecewa dan patah hati.

Dari hari ke hari, perasaan benci puteri itu terhadap Bhisma semakin meningkat. Dia sudah putus harapan bahawa Bhisma akan mengahwininya bagi menebus dosa kerana memusnahkan hidupnya.

Setiap kali melihat Vichitravirya hidup bahagia bersama-sama Ambika dan Ambalika, perasaan dendam Amba terhadap Bhisma semakin meluap-luap.

Dalam diam, puteri itu bertemu sejumlah putera dari beberapa kerajaan berhampiran. Ternyata mereka masih tertarik pada kejelitaan Amba. Bagaimanapun, perasaan dendam dalam jiwa membuatkan peribadi Amba sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

“Bunuhlah Bhisma! Kemudian kau boleh memiliki aku.” Demikian kata Amba kepada seorang demi seorang putera yang ditemuinya. Akan tetapi, tidak seorang pun yang berani berdepan dengan Bhisma. Apatah lagi sanggup menentang dan membunuhnya.

Dipendekkan cerita, Amba sedar bahawa tidak ada sesiapa yang berani menentang Bhisma. Maka puteri itu beralih meminta petunjuk daripada golongan dewa di kayangan. Amba bertapa dan berdoa memohon bantuan Dewa Subramaniam.

Tidak lama kemudian, dewa yang mempunyai enam wajah itu muncul di hadapan Amba. Puteri berkenaan menceritakan secara panjang-lebar tentang apa yang sudah berlaku dan niatnya mahu membalas dendam terhadap Bhisma.

“Saya sering dikaitkan dengan cinta. Walau bagaimanapun, memandangkan kamu telah bertapa dan berdoa kepada saya dengan penuh ikhlas, maka saya akan memenuhi permintaan kamu. Mintalah apa yang kamu mahu,” kata Dewa Subramaniam yang juga dikenali dengan nama Murugan.

Mendengar akan kata-kata dan janji Dewa Subramaniam, mata Amba mula bersinar. Perasaan kecewa, marah, sedih, patah hati dan dendam yang sudah berbaur dan sebati dalam jiwanya mula terpancar melalui pandangan mata.

“Saya perlukan seorang perwira yang akan sanggup membunuh Bhisma bagi membalas dendam saya terhadapnya!”

Setelah berfikir sebentar, Dewa Subramaniam menghulurkan malai (kalungan) bunga teratai kepada Amba.
“Sesiapa yang memakai karangan bunga teratai segar ini akan menjadi musuh kepada Bhisma dan berusaha membunuhnya,” kata dewa berwajah enam itu.

Bermula hari itu, Amba kembali sibuk menghubungi beberapa orang putera dari beberapa kerajaan. Amba memujuk mereka supaya memakai malai bunga teratai berkenaan. Bagaimanapun, masing-masing bagaikan sudah sedar bahawa pasti ada muslihat tersembunyi. Maka, tidak seorang pun bersetuju untuk memakai kalungan bunga tersebut.

Tidak lama kemudian, Amba berpeluang pergi ke istana Raja Drupada. Seperti biasa, puteri yang kini bertaraf andartu (anak dara tua) itu memujuk raja berkenaan supaya sudi memakai karangan bunga yang masih segar.

“Maaflah. Saya tidak mahu terlibat dalam sebarang masalah dengan Bhisma dan Hastinapura. Jangan temui saya lagi,” Drupada mengarahkan dengan tegas tanpa banyak bicara.

Sewaktu melangkah keluar dari istana Drupada, Amba berhenti di pintu pagar utama. Tanpa berfikir panjang, puteri berkenaan menggantungkan karangan bunga teratai itu pada pagar istana sebelum bergegas pulang ke Hastinapura.


Source :https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/06/09/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-35/

No comments: