Tuesday, June 18, 2013

Mahabharata – Bahagian 34

Hassan dan Hussain terus terpegun mendengar kisah daripada teks Razmnameh yang diceritakan oleh datuk. Mereka tidak pasti apakah datuk menceritakan semua yang terdapat dalam teks Bahasa Parsi itu atau ditokok-tambah dengan pelbagai kisah dari teks asal, iaitu Mahabharata dalam Bahasa Sanskrit.

“Betapa malang nasib Puteri Amba! Nampaknya tidak semua puteri mempunyai kisah hidup yang menggembirakan,” kata Hussain dengan nada sedih.

“Kalau diperhatikan, memang kebanyakan puteri dalam kisah-kisah klasik dan epik mengalami pelbagai peristiwa yang menyedihkan. Cuma apabila ditulis semula bagi bacaan zaman moden, kisah-kisah itu dipermudahkan dan bahagian yang sedih dibuang,” tambah Hassan.

Seperti biasa, datuk tidak masuk campur. Beliau lebih suka membiarkan kedua-dua cucu kembarnya itu berfikir secara kritikal dan membuat keputusan sendiri. Biarlah mereka membuat interpretasi sendiri terhadap kisah-kisah daripada Mahabharata yang sedang diceritakan.

“Apa yang berlaku selepas itu, datuk?” Hussain bertanya seketika kemudian.

“Apakah Puteri Amba akan pulang ke Hastinapura dan Bhisma akan menerimanya sebagai isteri?” Hassan cuba menduga.

“Atau dia akan tetap mahu bersama Putera Salva dari Kerajaan Saubala?” Kembarnya menambah.

“Atau pun Vichitravirya yang sudah mengahwini Ambika dan Ambalika akan bersedia untuk mengahwini Amba juga?”

Datuk tersenyum kecil mendengar pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh cucu-cucunya. Kemudian beliau menyambung cerita yang kurang diketahui generasi muda.

Kereta kuda yang dinaiki Amba akhirnya sampai semula di istana Hastinapura. Ambika dan Ambalika segera keluar untuk menyambut kakak mereka. Apabila melihat pada wajahnya, kedua-dua adik itu sudah dapat menduga apa yang telah berlaku.

“Bukankah Salva kononnya benar-benar mencintai kakak? Lalu mengapa pula dia tidak sudi menerima kakak sebagai isteri?” Ambalika bertanya dengan sedih dan hairan.

“Betapa malang nasib kakak! Kami berdua di sini hidup bahagia bersama-sama Vichitravirya tetapi kakak pula masih terumbang-ambing,” kata Ambika pula.

Tanpa menghiraukan apa-apa yang diperkatakan oleh kedua-dua adiknya, Amba segera meluru ke bilik Bhisma. Putera yang sudah tua dan beruban tetapi masih membujang itu terkejut melihat kedatangan – atau kepulangan – Amba.

“Apa yang berlaku? Bukankah kau sepatutnya sudah berkahwin dengan kekasih kau, Salva?” Bhisma bertanya dengan hairan.

Amba tersengih sambil cuba mengawal perasaannya. Puteri itu berusaha untuk tidak memandang wajah dan mata Bhisma. Bagaikan jika mata mereka bertemu, sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.

“Beginilah nasib seorang wanita dalam kehidupan di dunia yang dikuasai lelaki! Kami hanya umpama bidak iaitu buah catur yang paling rendah nilainya.”

Puteri itu menceritakan apa yang berlaku semasa pertemuannya dengan Salva. Bhisma rasa terpukul apabila dimaklumkan bahawa punca utama Salva tidak mahu menerima Amba adalah kerana Bhisma telah mengalahkan serta memalukannya sebanyak dua kali dalam pertarungan tempoh hari.

Bhisma segera pergi bertemu adik tirinya, Vichitravirya. Putera itu yang sudah mengahwini Ambika dan Ambalika tetap bertegas dengan keputusan tidak mahu menerima Amba atas alasan hati puteri itu sudah dimiliki lelaki lain.

“Lihatlah nasib diriku, wahai Bhisma yang hebat!” Amba meraung penuh hiba sambil mengalirkan air mata. “Hidup aku sudah teratur indah tetapi kau hadir lalu memusnahkannya semata-mata kerana kau mahu mencari calon isteri bagi adik tiri kau. Sekarang, lihatlah nasib diriku. Mampukah kau memberikan jawapan dan keputusan bagi mengembalikan kebahagian yang sudah kau rampas itu?”


Bhisma terpaku mendengar raungan Amba. Putera yang sudah beruban itu berdiri tertunduk. Dalam minda, Bhisma tetap ingat akan ikrar yang pernah dilafazkannya di hadapan bapa Satyavati pada suatu masa dahulu. Sewaktu dia masih dikenali sebagai Devavrata.


Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/06/02/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-34/

No comments: