Monday, April 22, 2013

Mahabharata – Bahagian 29


Seorang demi seorang putera dari Kerajaan Kosla, Kalinga, Vanga dan sebagainya mula mengaku tewas dalam pertandingan kalah-mati yang diadakan di perkarangan istana Raja Kaasi.

Memang demikianlah tradisi swayamvaram (sayembara) di mana akhirnya puteri akan memilih sendiri putera yang paling perkasa dan berjaya menunjukkan ciri-ciri keperwiraan.

Bhisma ternyata mempunyai tenaga luar biasa serta teknik lawan pedang yang sukar ditandingi. Walaupun rambut dan janggutnya sudah beruban, putera Kerajaan Kuru dari Hastinapua itu masih tangkas dan perkasa.

Ketiga-tiga puteri yang duduk di atas singgahsana di sisi Raja Kaasi terpegun melihat keperwiraan dan ketangkasan Bhisma. Pada masa sama, mereka kurang berminat memberikan sokongan kepada putera itu kerana dia sudah tua.

Masakan mana-mana satu daripada puteri bernama Amba, Ambika dan Ambalika itu sanggup menjadi isteri kepada seorang putera yang sudah berusia.

Mereka pernah mendengar kisah mengenai Bhisma yang sebelum ini bernama Devavrata. Mana-mana puteri yang berfikiran rasional tahu bahawa sekiranya dia menjadi isteri kepada Bhisma, maka tidak ada sebarang harapan untuk menjadi permaisuri Kerajaan Kuru.

Malah, ketiga-tiga puteri itu tahu akan kisah Bhisma bersumpah dan berikrar untuk kekal bujang.

Maka mereka sama-sama hairan mengapa putera itu menyertai sayembara yang diadakan. Amba, Ambika dan Ambalika tidak tahu bahawa Bhisma datang mewakili adik tirinya, Vichitravirya.

Akhirnya, perkara yang dibimbangi para hadirin, para putera, para pembesar, Raja Kaasi dan ketiga-tiga puteri itu benar-benar berlaku. Bhisma berjaya menewaskan kesemua putera yang menyertai sayembara. Tidak seorang pun yang berani kekal di arena untuk menunjukkan keperwiraan mereka.

Apabila pertarungan selesai, Raja Kaasi turun dari singgahsana dan berjalan menghampiri Bhisma. Para pembesar juga segera mengerumuni untuk mengetahui perkembangan terkini.

“Tahniah! Kau berjaya muncul juara. Ternyata bahawa walaupun usia kau agak lanjut dan rambut sudah beruban, tenaga kau masih pada tahap maksimum. Beta yakin bahawa tenaga yang sama akan mampu kau buktikan apabila mengahwini puteri beta,” kata Raja Kaasi secara penuh diplomatik kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah antara kerajaannya dan Hastinapura.

Para pembesar tersenyum dan tergelak kecil mendengar kata-kata sinis yang diselitkan oleh raja itu. Amba, Ambika dan Ambalika pula berwajah muram. Sebagai puteri, mereka berhak memilih pasangan hidup menerusi swayamvaram yang diadakan.

Malangnya, kesemua putera lain sudah mengaku kalah lalu pulang. Kalau ada sesiapa yang masih bertahan, sekurang-kurangnya ada juga peluang untuk puteri-puteri itu memilih daripada kalangan putera-putera berkenaan menggunakan kuasa khas yang diperuntukkan dalam amalan swayamvaram.

“Beta akan berpegang pada janji dan syarat sayembara. Maka, beta serahkan kepada puteri-puteri beta untuk memutuskan siapa yang mahu mengahwini kau,” kata Raja Kaasi.

Masing-masing puteri berpandangan. Daripada reaksi wajah mereka sahaja sudah amat jelas bahawa mereka tidak mahu memilih Bhisma menjadi pasangan hidup. Bhisma pula masih tidak mendedahkan hakikat bahawa dia sebenarnya datang sebagai wakil kepada Vichitravirya.

“Saya memilih ketiga-tiga puteri.”

Raja Kaasi terkejut mendengar kata-kata Bhisma. Mata Amba, Ambika dan Ambalika terbeliak. Mulut beberapa pembesar yang berkerumum di sana terlopong.

“Wah! Hebat juga Bhisma. Selama ini dia memilih untuk hidup membujang kerana sumpah dan ikrar. Kini apabila dia sudah melanggar sumpah itu, mahu dikahwininya tiga puteri sekali gus.”

Bisikan oleh seseorang segera disambut ketawa kecil oleh orang di sekeliling. Bagaimanapun ketawa mereka tidak lama bertahan. Suasana kembali serius dan tegang di perkarangan istana Raja Kaasi.

“Tidak bolehkah kau memilih salah seorang sahaja daripada puteri beta?”


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/04/21/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-29/

No comments: