Monday, April 15, 2013

Mahabharata – Bahagian 28


Akhirnya Vichitravirya mencapai usia yang sesuai untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Hastinapura. Namun, ada suatu perkara yang perlu diselesaikan dahulu sebelum dia menjadi raja.

“Sudah sampai masanya untuk Vichitravirya berkahwin. Aku telah bersumpah dan berikrar tidak akan berkahwin. Kedudukan adik tiri aku pula adalah berbeza. Dia sudah ditabalkan sebagai raja Kerajaan Hastinapura tetapi sejak dahulu aku menjadi pemegang amanah kerana dia masih kanak-kanak.”

Demikian Bhisma berfikir pada suatu hari sambil melihat Vichitravirya berlatih lawan pedang di dewan. Putera itu sudah lewat remaja dan memang sesuai untuk mendirikan rumahtangga.

“Memang sesuailah jika dia dikahwinkan sekarang supaya akan ada waris nanti sebelum dia menjadi tua,” fikir Bhisma sambil mengurut-urut janggutnya yang sudah beruban.

Vichitravirya sentiasa sibuk dengan urusan latihan perang dan menimba ilmu untuk menjadi raja yang berpengetahuan. Dia tidak mahu menjadi raja pada nama sahaja. Dia mahu menjadi pemerintah pada ert kata yang sebenar.

Memandangkan putera itu sentiasa sibuk, maka Bhisma memutuskan untuk menguruskan sendiri kerja-kerja mencari puteri yang sesuai dikahwini oleh adik tirinya itu.

Kebetulan pada waktu itu, Raja Kerajaan Kaasi sedang menganjurkan swayamvaram
(sayembara/pertandingan) untuk memilih bakal suami bagi puterinya. Sebaik sahaja berita itu sampai kepada pengetahuan Bhisma, dia bergegas ke istana Raja Kaasi.

Sewaktu Bhisma tiba di istana berkenaan, beberapa putera yang muda, belia dan remaja berada di sana. Masing-masing mahu mencuba nasib dan beradu kekuatan untuk memiliki puteri yang jelita.

Putera dari Kerajaan Kosla, Kalinga, Vanga dan sebagainya seperti hilang semangat sebaik melihat kemunculan Bhisma yang gagah perkasa. Walaupun usianya sudah lanjut dan rambut beruban, Bhisma masih gagah dan memiliki tubuh yang sasa.

Tidak setakat itu, kehebatan dan keperwiraan putera berkenaan yang merupakan anak kepada Dewi Gangga tersebar luas ke seluruh benua. Maka, apabila Bhisma datang ke tempat sayembara diadakan, putera-putera lain sangat kecewa.

Pada sangkaan mereka, Bhisma datang untuk mencuba nasib memiliki puteri Raja Kaasi. Jika benarlah begitu, putera-putera lain pasti tidak ada apa-apa peluang untuk menang.

“Apakah putera keturunan Kuru dan Bharata ini sudah lupa diri? Bukankah pada suatu masa dahulu, dia membuat sumpah dan ikrar untuk tidak berkahwin?” Demikian bisik seorang pembesar kepada seorang lagi pembesar yang duduk di sisinya.

“Mungkin juga dia tidak mahu lagi membujang memandangkan bapanya iaitu Raja Santanu sudah mangkat. Mungkin dia tidak mahu terlepas peluang menikmati hidup berumahtangga sebelum terlewat,” kata seorang lagi sambil mengawal ketawa.

“Walau apa pun alasannya, Bhisma perlu sedar bahawa dia sudah tua. Cuba perhatikan puteri-puteri Raja Kaasi yang masih terlalu muda. Mustahil mereka akan bersetuju untuk menjadi isteri kepada seorang putera yang sudah tua seperti Bhisma.”

Masing-masing mengambil peluang untuk mendongak dan memandang ke arah singgahsana di mana Raja Kaasi duduk bersama-sama tiga orang puteri. Ketiga-tiganya memang sangat jelita dan pasti menjadi kegilaan ramai putera dari jauh dan dekat.

Kehadiran Bhisma ke sayembara bukan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan putera-putera lain dan para pembesar. Ketiga-tiga puterai jelita itu juga ternyata tidak senang melihat kedatangan Bhisma yang rambutnya sudah beruban.

Bagi Raja Kaasi pula, baginda tidak dapat menghalang penyertaan Bhisma dalam sayembara yang diadakan. Putera itu masih bujang serta memenuhi syarat dan kelayakan yang diperlukan. Tambahan pula, dia adalah anak kepada mendiang Raja Santanu dan juga pemegang amanah bagi pemerintahan Kerajaan Kuru di Hastinapura.

Sayembara berlangsung mengikut adat dan amalan diraja. Masing-masing putera beradu kekuatan bermain senjata. Ramai yang kalah dan pulang dengan penuh kecewa. Ramai yang bertungkus-lumus bertarung di arena kerana mahu memiliki salah seorang puteri jelita.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/04/14/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-28/

No comments: