Monday, April 15, 2013

Mahabharata – Bahagian 27


Chitrangada yang menunggu giliran untuk ditabalkan sebagai yuvaraja (raja muda) meninggal dunia di medan perang. Berita itu memeranjatkan pasangan Raja Santanu dan Permaisuri Satyavati.

Turut bersedih ialah Bhisma manakala Vichitravirya pula masih terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku kepada abangnya.

“Ini memang suatu tragedi yang tidak diduga oleh seluruh penduduk Hastinapura. Chitrangada seorang putera yang disenangi ramai.”

Demikian kata-kata yang diucapkan rata-rata penduduk. Mereka maklum akan keberanian serta penglibatan Chitrangada dalam peperangan dengan beberapa wilayah lain. Namun, berita kematiannya benar-benar memeranjatkan mereka.

Walaupun Chitrangada dan Vichitravirya adalah adik tirinya, Bhisma tetap amat mengasihi mereka berdua sepenuh hati. Malah, Bhisma amat gembira serta merestui Chitrangada menjadi yuvaraja apabila tiba masanya.

Malang memang tidak berbau kerana Chitrangada gugur di medan perang. Jenazahnya dibawa pulang dan diuruskan mengikut adat dan budaya Hindu.

Tidak lama kemudian, kesihatan Santanu mula merosot. Baginda sedar bahawa hayatnya tidak akan bertahan lama. Maka, tampuk pemerintahan Kerajaan Hastinapura perlu diserahkan kepada pengganti yang benar-benar layak.

Vichitravirya masih terlalu muda untuk memahami tugas sebagai pemerintah; apatah lagi untuk memerintah sebuah kerajaan.

Satu-satunya pilihan terbaik yang ada tentulah Devavrata yang kini dikenali sebagai Bhisma. Sebagai seorang putera dan pahlawan, dia dilihat sebagai individu yang paling layak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada ayahnya.

Walau bagaimanapun, Bhisma sudah pun bersumpah dan berikrar sebelum melepaskan jawatan yuvaraja yang dipegangnya pada suatu masa dahulu.

Bhisma sudah bersumpah bahawa putera yang dilahirkan oleh Satyavati akan menjadi raja muda dan seterusnya raja di Kerajaan Hastinapura. Bagi memastikan sumpah itu tidak tergugat jugalah Bhisma memutuskan untuk kekal bujang.

“Akan tetapi, apa yang akan berlaku sekarang? Raja Santanu sedang uzur dan sudah memutuskan untuk mencari pengganti. Kita tidak boleh menunggu terlalu lama,” kata salah seorang pegawai atasan di istana.

Santanu juga faham akan situasi sebenar serta dilema yang dialami oleh Bhisma. Baginda menghormati keputusan dan sumpah yang dilafazkan oleh puteranya kepada bapa Satyavati dahulu.

“Hayat ayahanda tidak lama. Suatu keputusan perlu dibuat sebelum terlambat. Kalau ayahanda pergi tanpa menamakan pengganti, kerajaan kita mungkin berdepan risiko serangan musuh. Atas sebab itulah ayahanda meminta kau bertolak-ansur sedikit,” kata Santanu kepada puteranya.

Namun begitu, Bhisma tetap dengan pendirian untuk tidak mengambil alih tampuk pemerintahan. Walaupun bapa Satyavati sudah meninggal dunia, Bhisma tetap mahu berpegang pada janjinya.

“Chitrangada sudah pergi meninggalkan kita. Vichitravirya masih terlalu muda. Jadi, siapa yang akan legasi kerajaan ini?” Satyavati pula bertanya dengan nada merayu. “Lupakanlah sumpah lama. Lakukanlah sesuatu demi masa depan Hastinapura.”

Akhirnya keputusan dan kata sepakat dicapai. Vichitravirya akan ditabalkan sebagai raja. Akan tetapi, memandangkan usianya yang masih terlalu muda, Bhisma akan menjadi pemegang amanah. Maknanya, Bhisma akan memerintah Kerajaan Hastinapura sehingga Vichitravirya mencapai umur yang sesuai untuk mengambil alih pemerintahan.

Tidak lama selepas itu, Santanu menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang. Seperti mana sudah dipersetujui dan disepakati, Bhisma memerintah kerajaan bagi pihak Vichitravirya. Pemerintahan dilakukan dengan adil dan saksama berpandukan undang-undang dan kitab-kitab veda yang menjadi panduan.

Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Bhisma terus memerintah sambil membimbing Vichitravirya mengenai cara-cara memerintah sebuah kerajaan. Segala ilmu yang ada pada Bhisma dikongsikan bersama-sama adik tirinya.

Akhirnya Vichitravirya mencapai usia yang sesuai untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Hastinapura. Namun, ada suatu perkara yang perlu diselesaikan dahulu sebelum dia menjadi raja.


Source:http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/04/07/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-27/

No comments: