Monday, November 19, 2012

Mahabharata – Bahagian 7


Selepas perjanjian termeterai antara Ganesha dan Vyasa, maka proses menyanyikan dan mendokumentasikan kisah Jaya pun bermula.

Vyasa menyampaikan kisah kompleks keturunan Kuru dalam bentuk epik dan puisi yang dinyanyikan berdasarkan apa yang dihafaznya selama ini.

Dewa berkepala gajah pula mendengar dengan teliti dan memahami sepenuhnya kisah kompleks itu sebelum mencatatkannya dalam bentuk tulisan sepertimana diminta oleh maharishyi berkenaan.

Ruang waktu yang digunakan oleh Ganesha untuk menghayati dan memahami kisah yang dinyanyikan oleh Vyasa memberikan pula peluang kepada pendeta itu untuk memikirkan serta menggubah stanza-stanza baru untuk dinyanyikan.

“Jadi, apakah Vyasa sekadar mereka-reka kisah Jaya yang disampaikan itu?” Demikian Hassan bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.

“Yalah. Bukankah epik Mahabharata yang berasaskan pada epik Jaya dianggap sebagai teks kudus dan teks sejarah?” Hussain juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengemukakan kemusykilan.

Datuk berfikir sebentar. Ternyata beliau tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan berupa penjelasan yang mungkin mengeruhkan keadaan. Lebih teruk lagi jika penerangan yang diberikannya boleh ditafsirkan sebagai cuba mempersoalkan kredibiliti Vyasa sebagai individu pertama yang mendokumentasikan kisah yang dipercayai berlaku di Hastinapura.

“Saya serahkan persoalan itu kepada kamu sendiri untuk memikirkan. Bagaimanapun, tidaklah menghairankan jika seorang tokoh seperti Vyasa memerlukan masa untuk berfikir dan menggubah ayat-ayat yang paling sesuai dalam bentuk stanza berdasarkan kisah yang sudah dihafaznya,” datuk cuba menghuraikan.

Pasangan kembar yang tekun mendengar cerita datuk kelihatan termenung seketika. Mereka mengangguk-angguk kecil sebagai tanda memahami logik yang diperkatakan oleh datuk.

Hasil daripada pembacaan dan rujukan pelbagai sumber yang sahih, Hassan dan Hussain juga sedar bahawa teks Razmnameh dalam bahasa Parsi yang ada pada mereka adalah terjemahan daripada teks Mahabharata yang dikarang dalam tulisan Sanskrit. Teks itu sendiri sudah melalui suatu proses pengubah suaian yang agak banyak sejak Vyasa menyanyikan kisah Jaya untuk ditulis oleh Ganesha.

Sesudah teks Jaya dikarang dan didokumentasikan dalam bentuk bertulis, Vyasa terasa amat lega kerana sudah ada sumber rujukan yang sahih. Walaupun apabila dia meninggal dunia nanti, akan wujud teks bertulis yang boleh dijadikan rujukan.

Dalam pada itu, maharishyi berkenaan tetap berusaha memperturunkan kisah epik keturunan Kuru kepada anaknya, Suka. Epik Jaya turut diajar kepada para pengikutnya yang berminat mengetahui kandungan sebuah epik agung yang bakal menggegarkan dunia.

Adalah dipercayai bahawa Narada berpeluang mendengar kisah berkenaan, lalu menyampaikan (menyanyikan) kepada golongan dewa di kayangan dengan iringan veenai (bukan tambura) yang sering dibawanya.

Sementara itu, Suka – anak Vyasa – pula terlibat dalam usaha bersungguh-sungguh menyampaikan kisah Jaya kepada golongan gandhara, raksasa dan yaksha.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/11/18/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-7/

No comments: