Monday, November 19, 2012

Mahabharata – Bahagian 5



“Jadi, awak akan bercerita dan tugas saya adalah merekodkannya dalam bentuk bertulis?” Ganesha bertanya untuk mendapatkan pengesahan daripada Vyasa.

“Ya, benar. Saya sudah menghafaz cerita yang maha hebat ini sejak dahulu. Cabaran kini adalah untuk mendokumentasikannya sementara saya masih ada,” maharishyi itu mengakui tanpa berselindung.

Menyedari hakikat dan realiti tradisi lisah, Vyasa tahu bahawa kisah yang digubahnya pasti akan berubah – mengalami proses tokok-tambah – apabila disampaikan secara lisan daripada seorang individu kepada individu lain.

Proses itu adalah perkara yang lumrah dan memang tidak menjadi kesalahan. Malah, epik yang dirangka oleh maharishyi itu dalam bentuk puisi adalah juga kisah yang ditokok-tambah bagi menjadikan penceritaan, plot, watak, perwatakan, tema, persoalan dan sebagainya lebih menarik serta mengundang rasa ingin tahu khalayak pendengar.

Pada masa sama, Vyasa sedar bahawa selepas epik yang mahu disampaikannya itu didokumentasikan dalam bentuk bertulis – dengan judul Jaya – pasti masih akan ada tukang cerita pada masa hadapan yang merombak, mengubah dan menokok-tambah cerita mengikut peredaran zaman. Malah, epik itu akan diterjemah ke pelbagai bahasa dan mengalami perubahan mengikut citarasa setempat.

Semua itu tidak menjadi masalah kepada Vyasa. Impian dan cita-citanya adalah untuk memastikan epik yang dikarangnya dalam bentuk puisi lisan dirakam dalam bentuk bertulis untuk rujukan zaman-berzaman. Itulah khazanah yang mahu ditinggalkannya untuk dunia.

“Tidak bolehkah Vyasa menulis sendiri epik yang diimpikannya itu?” Demikian Hussain bertanya apabila datuk berhenti sebentar untuk meneguk teh suam di dalam cawan.

“Yalah, datuk,” Hassan turut mencelah. “Tak bolehkah maharishyi itu mendapatkan perkhidmatan manusia biasa untuk menjalankan tugas sebagai tukang tulis profesional?”

Datuk ketawa kecil selepas mengelap bibir. Beliau membetulkan duduk di atas kerusi kayu di halaman rumah. Angin petang bertiup nyaman.

“Boleh sahaja Vyasa berbuat begitu. Akan tetapi, dia mahu epik yang dikarangnya mempunyai nilai tambah, iaitu didokumentasikan oleh seorang dewa. Bukahkah itu tujuan Vyasa melakukan pertapaan kepada Dewata?”

Pasangan kembar Hassan dan Hussain mengangguk hampir serentak. Datuk pula meneruskan cerita mengenai bagaimana akhirnya kata sepakat dicapai antara Vyasa dan Ganesha, si dewa berkepala gajah.

“Saya bersetuju untuk memikul tugas ini dengan senang hati. Akan tetapi saya mahu meletakkan suatu syarat yang wajib dipatuhi.” Demikian kata Ganesha sambil duduk bersila di hadapan Vyasa.

“Syarat apakah itu?” Vyasa bertanya dengan penuh debar; umpama peserta kuiz di televisyen yang perlu memenuhi syarat tertentu sebelum layak meneruskan cabaran bagi merebut peluang memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.

“Sebaik sahaja awak mula bercerita, saya akan memulakan tugas menulis kisah itu dengan sempurna tanpa menokok-tambah walau sepatah perkataan dan suku kata. Jangan difikirkan soal bagaimana saya akan memastikan akan ada bekalan dakwat yang berterusan pada mata pena sepanjang proses penulisan ini.”
Vyasa mengerutkan kening. Apakah perangkap yang sedang cuba dipasang oleh dewa berkepala gajah itu?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/11/04/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-5/

No comments: