Monday, June 11, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 35


“Kau harus mengembalikan Sita kepada Rama. Jika kau turuti arahan ini, kau tidak akan Rama bunuh.”

Demikian aku berkata setelah duduk selesa sama tinggi dengan sanggahsana Ravana.

“Menyerahkan Sita? Menyerah kalah kepada seorang manusia keturunan Dravida?”

Ravana ketawa lagi sehingga bahunya terhinggut-hinggut.

“Sia-sialah aku menculiknya dua puluh dua tahun lalu jika aku menyerahkannya kembali begitu sahaja tanpa berperang. Sita kini isteriku. Dia adalah ibu kepada anakku, Tilewi!”

Nampaknya Ravana benar-benar percaya bahawa Tilewi adalah anaknya! Ruwet.

“Kau sedang mencari nahas, wahai Ravana!”

“Aku sedang mencari nahas?”

Ravana ketawa semakin kuat. Bergegar istananya.

“Kau yang sedang mencari nahas dengan memihak kepada Rama. Aku dengan khabar, kononnya kau sedang mencari ibu bapa kandung kau. Aku sumpahkan supaya kau terkorban sebelum mereka sempat datang menemui kau!”

Mendidih darahku mendengar sumpahan itu.

“Wahai kera, pergilah beritahu tuan kau bahawa aku akan membunuhnya sebagai balasan kerana membunuh
Jenin, Badak Giganda, Ular Suli Nagina, Gagak Sura, Mula Matani, Kumbakarana dan Patala Maharayan.”

“Dan Indrajit!”

“Ya! Dan Indrajit.”

Merah menyala muka Ravana. Merah menyala juga sepuluh pasang matanya. Jari-jemarinya digenggam erat.

“Katakan kepada Rama bahawa aku akan membunuhnya sebelum menjadikan Sita isteriku yang sah. Wijaya tetap di pihakku!” Ravana meramas-ramas seratus jarinya sambil berkata begitu.

“Jadi kau mahu meneruskan juga perang ini?”

“Ya! Pulanglah, wahai kera. Minta tuan kau supaya bersedia. Aku sendiri akan turun berperang pagi esok.”
Ravana ketawa lagi. Ketawa angkuh; bagai meraikan kemenangan sebelum turun berjuang di medan perang.

Maka, aku pun pergi menyampaikan perkhabaran itu kepada Rama. Putera berkenaan agak kecewa apabila aku memaklumkan bahawa Ravana masih mahu berperang. Pada sangkaan Rama, raksasa itu akan terus menyerah kalah sebaik mendapat tahu berita kematian Indrajit.

Lalu, tentera manusia milik Rama dan tentera kera milik Surgiwa pun bersiap-sedia menanti ketibaan esok. Menanti Ravana bertemu Rama di medan perang.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/09/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-35/

No comments: