Monday, June 04, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 34


Aku berlari ke khemah ayah. Bukankah Indrajit datang untuk membunuh ayah? Bukankah itu amanat Ravana yang Indrajit junjung!

Ayah!

Sampai di khemah, aku lihat ayah masih tidur. Bibasenam sedang berjaga di sisinya. Aku menarik nafas lega.
Kau terlalu aneh, Indrajit.

Sesungguhnya Indrajit terlalu aneh. Hingga kini, aku masih tidak tahu mengapa dia bersusah-payah melepaskan anak panah wimuasara, kemudian datang ke kubu Rama; tetapi tidak pula menjunjung titah Ravana supaya membunuh Rama.

Aku menghela nafas sambil terus duduk di sisi makam Tamnat Gangga. Sayang sekali orang baik seperti Indrajit terpaksa turut menjadi mangsa perang yang gila.

Indrajit gugur di medan perang. Letchumanen yang berjaya memanah jantungnya. Sebelum meninggal dunia, Indrajit mewasiatkan supaya anaknya yang bernama Puteri Indera Kesuma dikahwinkan dengan Tilewi, anak Rama.

Kematian Indrajit menandakan lumpuhnya benteng pertahanan Ravana. Kesemua anak Ravana mati secara sia-sia di tangan Rama.

Kematian Indrajit merupakan tamparan paling hebat buat Ravana. Sebelum ini, Ravana benar-benar yakin bahawa Indrajit akan dapat mengalahkan Rama dengan kekuasaan panah sakti wimuasara.

Sesungguhnya Indrajit telah menang dengan caranya yang tersendiri. Indrajit menang dalam usaha membuktikan bahawa pihak yang bersalah pasti kalah.

Dia mencapai kemenangan batin dalam membuktikan kesetiaan seorang anak. Tentu tiada manusia lain di mayapada yang boleh menandingi kesetiaan Indrajit!

Selepas kematian Indrajit, Rama meminta aku pergi menemui Ravana. Pada fikiran Rama, Ravana tentu akan menyerah kalah tanpa perlu melanjutkan perang.

Lalu aku pun terbanglah pergi menemui Ravana di istananya. Oleh sebab aku datang sebagai utusan, tiada sesiapa yang cuba mencederakan mahu pun menghalang aku.

“Utusan daripada Rama? Diutuskannya melalui seekor kera? Nyatakan, wahai kera, apa yang tuan kau katakan?” Ravana ketawa nyaring dengan sepuluh mulutnya.

Raksasa itu meminta aku duduk di atas lantai sahaja. Lalu aku memanjangkan ekorku dan kujadikan alas untuk duduk setara dengan singgahsana Ravana. Mengapa tidak; bukankah aku Hanuman, anak Rama?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/03/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-34/

No comments: