Thursday, November 08, 2012

PAS bela bekas buruh paksa Jepun


KUALA LUMPUR: PAS Perak berazam untuk membela hak bekas buruh paksa dan waris yang terlibat dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km dari  Thailand  ke Burma semasa Perang Dunia Kedua (1942-1946).

Melalui penubuhan Sekretariat Jejak, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata pihaknya akan menjejaki bekas buruh landasan dan waris mereka bagi membantu menyelesaikan konflik tuntutan pampasan  ‘Wang Berdarah’ yang diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai ganti rugi berjumlah RM207 billion.

Nizar berkata, dengan jumlah itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta wang pampasan.

Katanya, setakat ini pihaknya berjaya mengesan seramai123 waris keluarga buruh berkenaan di Perak dan 347 waris di Pahang.

Nizar mendakwa, berdasarkan laporan sebuah laman web pihak berkuasa di Jepun, pembayaran telah dibuat kepada Malaysia oleh kerajaan Jepun sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri tetapi sehingga kini tiada penjelasan diberikan kerajaan Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat berkata, wujud satu nota yang disahkan oleh Gabenor Bank Negara bertarikh 13 Disember 2004 berhubung jumlah dana bernilai RM207 billion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 bekas buruh terbabit.

Surat tertentu

“Ada surat-surat tertentu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan kepada persatuan yang mengesahkan wang tersebut dalam simpanan mereka (kerajaan).

“Misalnya surat bertarikh 29 Mac lalu, satu memo daripada Kementerian Kewangan kepada Pengerusi Persatuan Bekas dan Waris Buruh menyatakan dana itu telah diangkat untuk kelulusan kerajaan dimana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan peringkat Sumber Manusia.

“Perkara ini disahkan Menteri Kewangan, (wang) masih dalam simpanan.

“Kalau masih disimpan mengapa tidak diberikan kepada rakyat,” soalnya

Menurut Nizar, seramai 72,000 penduduk Tanah Melayu pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dikesan.

Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 buruh ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Sekiranya mereka masih hidup, umur mereka dianggarkan antara 80 hingga 85 tahun.Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

Waris dan bekas buruh berkenaan boleh menghubungi Sekreteriat Jejak melalui talian 019-231 6539 dan 013-3266194.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/11/07/pas-bela-bekas-buruh-paksa-jepun/

No comments: