Monday, November 26, 2012

Mahabharata – Bahagian 8


Seorang lagi individu yang berpeluang belajar kisah Jaya daripada Suka ialah Parikshit. Ada pun, raja itu merupakan anak kepada Abhimanyu, cucu kepada Arjuna dan cicit kepada Pandu.

Hal ini bermakna bahawa keturunan Pandu berpeluang mendengar kisah (sejarah) generasi terdahulu menerusi sebuah epik yang digubah oleh Vyasa dengan menggambungkan unsur sejarah dan sastera.

Pelajar kepada Vyasa yang dianggap paling tekun dan berminat ialah Vaisampayana. Pelajar itu pula kemudian diminta oleh Janamejaya – putera kepada Parikshit – supaya menyampaikan kisah Jaya kepada golongan manusia – orang kebanyakan – supaya kehebatan keturunan Kuru dapat diketahui umum.

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan adalah bahawa Vaisampayana mengambil kisah Jaya yang disampaikan oleh Vyasa dan melakukan sedikit pengubah suaian. Hasilnya, versi yang disampaikan kepada orang kebanyakan adalah epik yang dinamakan Bharata.

Mulut Hassan dan Hussain terlopong. Mata mereka terbeliak. Otak mereka ligat berusaha mencerna pelbagai maklumat baru yang disampaikan datuk.

Selepas berhenti sejenak, datuk meneruskan pula cerita mengenai Suta. Nama lain bagi Suta ialah Ugrasrava Sauti. Dia berpeluang mendengar kisah Bharata yang disampaikan oleh Vaisampayana.

Adalah dipercayai bahawa Suta amat tertarik dengan kisah keturunan Kuru yang amat kompleks dan amat sesuai dijadikan asas – cerita berbingkai – untuk menyampaikan pelbagai ajaran dharma, agama dan budaya kepada masyarakat (manusia biasa).

Lalu, Suta yang merupakan pelajar kepada Vaisampayana mengambil keputusan untuk melakukan pengubah suaian terhadap kisah Bharata (yang merupakan versi ubah suai daripada Jaya) dengan menyelitkan (menokok-tambah) kisah-kisah berkonsepkan “dharma” dan “cara hidup”.

Maka terhasillah epik versi baru yang dinamakan Mahabharata. Versi ini disampaikan oleh Suta alias Ugrasrava Sauti kepada sekumpulan maharishyi yang diketuai Saunaka di Hutan Naimisa.

“Khabarnya Suta yang merupakan seorang tukang cerita profesional melawat semua lokasi yang dinyatakan dalam Bharata sebelum melakukan pengubah suaian terhadap epik itu bagi menghasilkan teks Mahabharata,” kata datuk.

“Dewa Ganesha yang berkepala gajah menjadi tukang tulis profesional manakala Suta pula menjadi tukang cerita profesional,” Hussain berkata sambil memandang Hassan di sisi.

“Yalah. Nampaknya walaupun teks Jaya karya Vyasa sudah didokumentasikan dalam bentuk bertulis oleh Ganesha sendiri, epik berkenaan masih disampaikan secara lisan oleh para pengikut Vyasa.” Demikian reaksi kembarnya.

“Dan masih berlaku pengubah suaian dan proses menokok-tambah seperti yang dilakukan oleh Vaisampayana bagi menghasilkan Bharata dan oleh Ugrasrava Sauti untuk melahirkan Mahabharata,” Hussain sempat menambah.

Datuk tersenyum mendengar pandangan dah hujah yang dikemukakan kedua-dua cucunya. Datuk tidak mahu Hassan dan Hussain sekadar tahu kisah Mahabharata sebagai sebuah epik kudus. Lebih daripada itu, beliau mahu cucu-cucu kesayangannya mengetahui pelbagai kisah yang tersirat di sebalik epik itu sendiri.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/11/25/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-8/

No comments: