Monday, December 03, 2012

Mahabharata – Bahagian 9


Kisah dalam epik Mahabharata bermula dengan penceritaan mengenai Raja Santanu daripada keturunan Kuru yang memerintah Kerajaan Hastinapura.

Pada suatu hari, Santanu berada di tebing Sungai Ganges apabila baginda terpandang seorang gadis yang terlalu rupawan. Hati baginda terus tergoda dan memutuskan untuk memperisterikan gadis yang tidak dikenali asal-usulnya itu.

“Beta pemerintah kerajaan ini. Sudikah kau menjadi isteri beta, sekali gus menjadi permaisuri bagi Kerajaan Hastinapura?” Demikian Santanu yang dilamun cinta berahi terus bertanya kepada gadis berkenaan.
Gadis itu pula kelihatan agak terkejut; apatah lagi tiba-tiba disapa dan ditawarkan peluang menjadi permaisuri. Gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Gangga berusaha menolak cinta Santanu secara penuh sopan.

“Maafkan saya, tuanku. Tapi tuanku tidak mengenali saya. Apakah semata-mata kerana tertarik pada rupa fizikal saya, maka tuanku bersedia untuk memperisterikan saya dan menjadikan saya permaisuri di kerajaan ini?”

Santanu yang sedang dilamun cinta berahi mengakui bahawa itulah yang sebenarnya berlaku. Baginda tidak kisah tentang asal-usul serta apa-apa perkara mengenai latar belakang Gangga. Apa yang penting adalah bahawa gadis itu bersedia menjadi teman hidupnya.

“Begitu mudah seorang raja membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang wanita yang langsung tidak dikenali?” Hussain bertanya apabila datuk menghentikan sebentar penceritaannya.

“Yalah, datuk. Sebagai seorang raja yang disegani dan dipandang tinggi oleh penduduk Kerajaan Hastinapura, tindakan Raja Santanu kedengaran amat tidak wajar dan membelakangkan kedudukan sebagai keturunan diraja,” tambah Hassan pula.

Datuk memilih untuk tidak menghalang pasangan kembar itu mengeluarkan pandangan dan komentar mengenai kandungan epik yang terkenal itu. Memanglah wajar segala kisah yang dipaparkan di dalamnya dianalisis, diteliti, dibahas dan diperkatakan mengikut konteks semasa.
“Demikianlah nampaknya apa yang berlaku dan diceritakan pula oleh Vyasa dalam teks Jaya. Ingat lagi teks itu?”
“Ya, datuk. Teks itu kemudian dikembangkan menjadi epik Bharata dan seterusnya menjadi Mahabharata yang sedang kita perkatakan,” Hassan menjawab sebelum Hussain sempat membuka mulut.

Datuk mengangguk sebelum membelek-belek halaman buku Razmnameh yang merupakan terjemahan epik berkenaan dalam Bahasa Parsi. Kemudian, beliau meneruskan cerita.

“Wahai gadis jelita, kau mintalah apa sahaja yang kau mahu. Beta akan berikan. Mintalah kesemua harta milik beta atau mintalah supaya seluruh Kerajaan Hastinapura ini diserahkan kepada kau. Atau mintalah nyawa beta. Semuanya sanggup beta serahkan asalkan kau sudi menjadi isteri beta,” Santanu meraju tanpa segan-silu.

Gadis yang ternyata jelitawan dan menggoda paras rupanya itu akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan raja berkenaan. Santanu gembira bukan kepalang dan terus melonjak kegembiraan di tebing Sungai Ganges.
Akan tetapi, Gangga mengenakan beberapa syarat yang wajib dipatuhi oleh Santanu tanpa sebarang persoalan.

“Syarat pertama adalah bahawa tuanku tidak akan bertanya apa-apa mengenai asal-usul dan identiti sebenar saya,” gadis ayu itu berkata dengan tegas tetapi manja sambil duduk di sisi Santanu.

“Beta setuju,” raja itu menjawab dengan segera. “Beta tidak kisah tentang asal-usul kau. Apa yang penting adalah bahawa kau bersedia menjadi isteri beta, mampu membahagiakan beta dan layak melahirkan waris beta. Malah, kau akan menjadi permaisuri di Kerajaan Hastinapura.”

“Tapi itu baru syarat pertama. Dengarlah syarat-syarat seterusnya,” kata Gangga.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/12/02/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-9/

No comments: