Raja Santanu mendengar syarat-syarat tambahan yang dikenakan oleh Gangga.
“Selepas tuanku memperisterikan saya nanti, tuanku mesti berjanji bahawa tuanku tidak akan menghalang apa-apa yang saya lakukan,” katanya sambil duduk dengan penuh sopan di tebing Sungai Ganges.
“Tidak menjadi masalah, wahai gadis rupawan. Apabila kau sudah menjadi isteri beta, kau akan menjadi permaisuri di Kerajaan Hastinapura. Tentu sahaja kau boleh melakukan apa-apa sahaja dan tidak akan ada sesiapa yang menghalang,” Santanu yang dilamun cinta cuba meyakinkan.
“Saya tidak kisah tentang orang lain. Saya mahu tuanku berjanji bahawa tuanku tidak akan menghalang saya. …”
“Baiklah.” Santanu ketawa sebelum menghampiri Gangga dan memegang tangannya dengan penuh kasih.
“Beta berjanji tidak akan menghalang apa-apa sahaja yang kau lakukan selepas kita berkahwin nanti.”
Gangga menguntumkan senyuman. Namun, masih ada kesayuan pada wajahnya. Bagaikan masih ada syarat-syarat dan peraturan berat yang perlu dipenuhi oleh raja itu jika mahu memperisterikannya.
“Tuanku juga mesti berjanji bahawa tuanku tidak akan mengecewakan saya,” gadis itu bersuara perlahan.
“Apa? Mengecewakan kau?” Santanu segera memegang dagu Gangga yang ayu. “Beta sekarang sedang dilamun cinta dan beta tergila-gila akan kau. Beta pasti tidak akan mengecewakan kau sama ada pada waktu siang atau malam.”
Gangga tersipu-sipu mendengar kata-kata yang diucapkan raja berkenaan.
“Kalau tuanku mengecewakan saya, maka saya akan segera meninggalkan tuanku dan istana.”
Senyuman pada wajah Santanu tiba-tiba hilang. Dipandangnya mata Gangga dengan penuh tanda tanya. Kemudian, baginda kembali tersenyum.
“Janganlah kau risau memikirkan soal itu, wahai gadis yang berjaya menambat hati beta. Beta berjanji tidak akan melakukan apa-apa perkara yang mungkin membuatkan kau berasa kecewa. Sebaliknya, beta berjanji akan membahagiakan kau pada setiap masa,” Santanu melafazkan janji setia.
“Maknanya, Gangga mengenakan tiga syarat kepada Raja Santanu. Bukankah begitu, datuk?” Hassan bertanya sambil menghitung pada jari.
“Benar. Ada tiga syarat utama yang dikenakan. Apakah syarat-syarat itu?” Datuk yang sedang bercerita mengemukakan pertanyaan kepada cucu-cucunya.
“Pertama, Raja Santanu tidak boleh bertanya perihal asal-usul Gangga dan identiti sebenar dirinya. Kedua, raja itu tidak boleh menghalang apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Gangga selepas mereka berkahwin,” pantas Hussain menjawab.
“Syarat ketiga pula adalah bahawa Raja Santanu tidak akan mengecewakan Gangga pada bila-bila masa. Sekiranya salah satu janji itu dimungkiri dan wanita penuh misteri itu merasakan dirinya dikecewakan, maka dia akan meninggalkan raja dan istana,” Hassan menambah.
Datuk meneruskan kisah dengan menceritakan bahawa akhirnya Santanu dan Gangga berkahwin dalam suatu majlis yang gilang-gemilang. Gangga menjadi permaisuri di Kerajaan Hastinapura yang diwarisi keturunan Kuru.
Kehidupan pasangan itu ternyata aman dan bahagia. Tidak lama kemudian, Gangga mengandungkan anak sulung. Apabila cukup masa, lahirlah seorang putera yang comel. Santanu terasa amat gembira kerana sudah ada waris sulung untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan selepas ketiadaannya.
Namun begitu, kegembiraan Santanu tidak bertahan lama. Beberapa jam sahaja selepas putera itu lahir, Gangga membawa bayi berkenaan ke tebing Sungai Ganges.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2012/12/09/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-10/
No comments:
Post a Comment