Monday, January 30, 2012

Ramayana: Memoir Hanuman

Rata-rata penganut agama Hindu seluruh dunia masih menganggap Ramayana sebagai teks kudus dan suci. Maka kandungan teks berkenaan dilihat perlu diterima bulat-bulat tanpa boleh dipersoalkan.Ajaran yang terkandung dalam Ramayana dijadikan panduan hidup; sama penting dengan ajaran dalam Mahabharata, Upanishad, Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda.

Bagaimanapun, mengikut peredaran zaman, para pengkaji dan peneliti sudah mula memberi interpretasi baru terhadap kandungan adikavya (karya agung) berkenaan.Tindakan ini tidak pula mencemarkan keagungan Ramayana. Sebaliknya, membuktikan bahawa epik klasik itu amat kompleks dan bersifat universal, serta boleh ditafsir dari pelbagai sudut mengikut zaman.Tokoh pemimpin di Tamil Nadu, India, E V Ramaswami yang lebih dikenali sebagai Periyar pernah menulis semula Ramayana dengan mengangkat Ravana sebagai wira.

Pulavar Kuzhanthai pula menulis Ravana Kaviyam (1946) dari sudut penceritaan Ravana. Bagaimanapun, karya itu diharamkan kerajaan Tamil Nadu pada 1948.Kalau dikaji secara teliti, Ramayana sebenarnya memiliki ciri teks sejarah atau itihasa kerana membuat rujukan pada peristiwa dan tempat-tempat yang memang terdapat dalam catatan sejarah.Misalnya mengenai pelayaran dari Benua Kecil India ke Kadaram (Kedah). Usah lupa tentang Laksamana Hang Tuah yang dipercayai menggabungkan watak-watak dari Ramayana dan Mahabharata.

Ramayana turut berciri politik dan melakukan sindiran halus terhadap golongan diraja dan pemerintah. Malah, apa yang lebih menarik, kisah-kisah dalam Ramayana masih relevan hingga hari ini.Jika mahu meneliti manipulasi politik ala-ala “Bik Mama”, bacalah Ramayana dan Mahabharata. Begitu juga kisah percaturan politik dan permainan politik kotor yang sudah terakam kemas dalam epik berkenaan.

Seperti yang saya nyatakan minggu lalu, tarikh sebenar Ramayana ditulis tidak diketahui. Namun, pengkaji percaya bahawa teks itu ditulis antara abad ke-4 Sebelum Masehi dan abad ke-2 Masehi.Saya pernah menyebut dalam sebuah artikel di majalah Siasah (Mei 2003) bahawa jangka masa yang lama ini juga memberi ruang untuk para pengkaji membuat andaian bahawa Ramayana sebenarnya ditulis oleh beberapa pengarang.

Teks asal dlana Bahasa Sanskrit

Mungkin cerita asal mengenai Rama adalah daripada tradisi lisan di India yang kemudian diubahsuai dan ditulis secara bersiri oleh beberapa pengarang dalam bentuk teks. Khususnya berikutan kebangkitan agama Buddha.

Ramayana juga bukanlah teks asli milik orang Tamil seperti yang disangka ramai. Teks asal ditulis dalam Bahasa Sanskrit iaitu bahasa yang dikuasai oleh golongan Arya di bahagian utara India.

Hanya kemudian, seorang penyair Tamil bernama Kamban mengolah semula teks Ramayana ke dalam Bahasa Tamil lalu diberi judul Ramavataram (atau Kamba Ramayanam).

Di negara India, Ramayana terdapat dalam Bahasa Tamil, Telegu, Malayalam, Hindi serta bahasa-bahasa lain. Oleh kerana diberi status sebagai teks suci dan teks keagamaan, Ramayana tersebar luas ke negara-negara Asia bersama penyebaran agama Hindu.Jadi, Ramayana tidak asing di Malaysia, Thailand, China, Jepun, Tibet, Fiji, Surinam, Indonesia dan Burma. Malah, kini, Ramayana terdapat di seluruh dunia dalam kesemua bahasa utama dunia.

Seperti diketahui umum, kisah Ramayana adalah mengenai watak Rama yang merupakan putera golongan Arya dari Ayodhya di bahagian utara India.Berikutan konspirasi licik ibu tirinya, Rama terpaksa tinggal dalam buangan selama 14 tahun. Turut menyertainya adalah adiknya, Laksamana, dan isterinya, Sita.

Khalayak pelbagai umur tahu apa yang berlaku seterusnya. Sita diculik Ravana iaitu raja Dravida yang digambarkan sebagai ketua raksasa di Langkapuri (Sri Lanka).

Di sini, terbukti terdapat motif politik diselitkan secara halus oleh pengarang Ramayana. Orang Arya digambarkan sebagai wira manakala orang Dravida iaitu pribumi di India digambarkan sebagai raksasa, lotong, kera dan beruang.

Walau bagaimanapun, Valmiki tidak ketinggalan mengkritik dan menyindir orang Arya secara tersirat. Misalnya, apabila Vaali dan Sugriva tertarung, Rama melepaskan anak panah dari tempat persembunyian.

Sebelum meninggal dunia akibat terkena anak panah, Vaali sempat melahirkan rasa kecewa atas tindakan dayus Rama (putera Arya) menyerangnya secara tidak adil.Nah! Bukankah sudah saya katakan bahawa kisah-kisah dalam Ramayana adalah cerminan tentang apa yang sedang berlaku dalam realiti; termasuk di negara bertuah ini.

Malah, semasa berada di hutan, Sita dikatakan ternampak seekor kijang emas lalu mahu memilikinya. Rama mengejar kijang emas itu untuk ditangkap dan dihadiahkan kepada isteri tersayang.Pada kesempatan itulah Ravana menculik Sita. Sebenaranya, kijang emas itu adalah lambang maya atau kejahilan manusia. Rama sebagai seorang bangsawan yang terpelajar dan tahu segala ilmu, tetap terpedaya dengan kewujudan “kijang emas”.

Selepas Ravana ditewaskan, Rama, Sita dan Laksamana pulang ke Ayodhya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Rama mencurigai kesucian Sita yang telah tinggal lama bersama Ravana.Lalu, Sita yang mengandung dihantar ke hutan. Di hutan itulah, kononnya, menurut Valmiki, dia bertemu Sita. Wanita itu menceritakan kisahnya kepada Valmiki lalu penyair agung berkenaan menghasilkan teks Ramayana.

Interpretasi baru

Untuk memberikan nilai kudus kepada Ramayana, maka Rama digambarkan sebagai avatara atau inkarnasi Dewa Vishnu. Watak Hanuman, si lotong yang membantu Rama pula kononnya inkarnasi Dewa Shiva yang kesebelas iaitu Rudra Avatara.Ramayana juga dipercayai dijadikan “senjata” untuk mengatasi penyebaran ajaran agama Buddha di India pada masa dahulu; khususnya semasa zaman keagungan Asoka dari Dinasti Maurya yang menakluk hampir seluruh Benua Kecil India pada sekitar tahun 270-230 Sebelum Masehi.

Ramayana diberi status teks suci supaya lebih mudah dijadikan wahana bagi penyebaran agama Hindu semasa agama Buddha sedang semakin berleluasa.Walau apa pun agenda sebenar di sebalik penghasilan Ramayana, karya berkenaan sudah membuktikan bahawa adikavya itu tahan diuji zaman.

Ramayana kini dikenali penduduk seluruh dunia. Malah, kisah-kisah dalam Ramayana diberi interpretasi baru dan dijadikan bahan kajian ilmiah. Ramayana turut menjadi sumber idea bagi karya sastera.

Melalui novel Hanuman: Potret Diri, saya mahu supaya pembaca berpeluang mendengar luahan hati Hanuman terhadap segala apa yang terdapat di dalam dan di luar pelbagai versi Ramayana.

Sebagai sebuah karya retorik berunsur parodi, Hanuman: Potret Diri hampir terpesong langsung daripada epik kudus Ramayana. Novel ini antara lain secara halus menerapkan teori intertekstual yang dipelopori Mikhail Bakhtin dan Julia Kristeva.

Maka, penekanan diberi pada aspek “dialog antara teks”, “mengubah teks”, “transformasi fizikal”, “modifikasi”, “demitefikasi”, “haplologi”, “konversi”, “defamiliarisasi” dan “paralel” yang pernah saya huraikan dalam sebuah rencana di akhbar Mingguan Malaysia pada 2 Ogos 1998.

Sekadar contoh, dalam Ramayana, watak Rama berketurunan Arya manakala Ravana berketurunan Dravida. Hal yang sebaliknya pula dikemukakan secara penuh sedar dalam Hanuman: Potret Diri.Novel lima belas bab ini mengambil latar masa tidak sampai sehari; dari subuh hingga senja. Kisahnya tentang Hanuman, kera putih bermata hijau yang menggantikan Rama sebagai pemerintah Kerajaan Indus di Lembah Sindhu.

Kisah dalam Hanuman: Potret Diri menyimpang daripada teks asal Ramayana. Misalnya, Hanuman menjadi maharaja pada usia 29 tahun dan dia masih menagih kasih sayang ibu bapa kandungnya.Benarkah segala hipotesis yang dikemukakan? Mengapa Hanuman lahir sebagai kera? Mengapa dia tidak menerima kasih sayang ibu bapanya? Siapakah pula Tamnat Gangga?

Malah, persoalan yang jauh lebih penting untuk direnungkan: Siapakah wira sebenar dalam kisah perang Rama-Ravana?Itulah antara persoalan pokok dalam novel retorik ini. Penyampaian cerita melalui penggunaan sudut pencerita orang pertama (“Aku” @ Hanuman) dijangka mampu memikat hati pembaca remaja mahu pun dewasa.

Novel ini pernah diadaptasi menjadi skrip teater “Hanuman” dan dipersembahkan dalam bentuk wayang kulit dan wayang wong oleh Yayasan Warisan Johor di Johor Bahru pada 9 Julai 2005.Versi bercetak novel Hanuman: Potret Diri (1996) sudah tiada dalam pasaran. Kini, edisi yang dimurnikan akan disiarkan secara bersiri di FMT mulai 4 Februari 2012 dengan judul Hanuman: Suara Hati.Seolah-olah Hanumad Ramayana (Ramayana Versi Hanuman) yang pernah dicampak ke dalam laut pada zaman dahulu, kini muncul di permukaan lautan siber untuk bacaan dan renungan generasi muda.





Source : Uthaya Sankar SB adalah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99. Catatan mindanya boleh juga dibaca diwww.uthayasb.blogspot.com 1

No comments: