Thursday, November 24, 2011

Harimau Malaya atau Harimau Malaysia?

PETALING JAYA: Sejak  pasukan bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun menggondol pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Jakarta Isnin malam, perbualan mengenai kejayaan ini dapat didengar di mana-mana sahaja.Tidak kira di pejabat, warung-warung kopi, di restoran mamak, di dalam bas, komuter atau pengangkutan awam lain, semuanya masih ghairah membicarakan kejayaan anak-anak muda wira negara ini.

Di laman sosial seperti di Facebook dan lain-lain juga turut tidak ketinggalan apabila masing-masing begitu teruja memberi komen yang bernada semangat yang berkobar-kobar.Malahan ada di antara pengguna laman sosial itu yang begitu teruja dan menyambut kepulangan wira-wira negara di lapangan terbang.

Ketika masyarakat di semenanjung meraikan kejayaan ini, senario yang sama juga sedang berlaku di seberang Laut China Selatan, di Sabah dan Sarawak tetapi cuma yang berbezanya, kejayaan yang turut mereka raikan itu disulami rasa terkilan.Seperti penyokong di semenanjung, masyarakat di Sabah dan Sarawak juga sama-sama bersorak tatkala pemain negara melancarkan serangan dan bertempik marah apabila pemain negara dikasari.

Mereka juga sama seperti penyokong di semenanjung yang  bertepuk tangan tatkala Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan percubaan bahaya pemain lawan, melompat riang ketika meraikan pemain kita  menyumbatkan gol dan tergamam serta kecewa apabila pintu gol negara dibolosi pemain lawan.

Rakyat Sabah, Sarawak terkilan

Cuma yang membuatkan mereka terkilan ialah jolokan 'Harimau  Malaya' yang digunakan untuk menggambarkan kegagahan pasukan negara dianggap tidak mencerminkan keseluruhan Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak.Bagi rakyat  Sabah dan Sarawak yang sensitif dengan isu ini, jolokan 'Harimau Malaysia' adalah lebih tepat dan mencerminkan negara Malaysia keseluruhan.

Mereka juga berpendapat jolokan Harimau Malaya seolah-olah melupakan Sabah dan Sarawak yang merupakan sebahagian dari Malaysia dan penglibatan mereka dalam membangunkan negara ini termasuk dalam bidang sukan negara ini.

Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam negara ini, negara ini terlebih dahulu dikenali sebagai Malaya dan negara Malaysia hanya ditubuhkan setelah dua negeri itu menyertai Malaysia pada 16 September 1963.Mungkin bagi sesetengah pihak pendapat mereka ini adalah sesuatu yang remeh dan tidaklah perlu diambil pusing.

Harimau Malaysia lebih tepat


Namun realitinya, jolokan Harimau Malaysia adalah lebih tepat bagi memberikan gambaran keseluruhan masyarakat negara ini termasuk mereka di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tindakan menukarkan gelaran Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia tentunya tidak akan menyebabkan apa-apa kekurangan mahupun cacat celanya.Jauh sekali akan menyebabkan prestasi pasukan kebangsaan kita merosot kerana gelaran Harimau Malaysia.

Pendapat mereka ini bolehlah dianggap satu pandangan yang bernas  bagi melambangkan kesatuan keseluruhan masyarakat dalam kesemua negeri-negeri dalam negara ini.Dalam memperkatakan isu ini juga adalah tidak wajar sekiranya ada yang menganggap ianya sebagai isu politik atau isu yang dipolitikan oleh pihak tertentu bagi meraih sokongan.

Bagi memberikan gambaran kesatuan antara negeri-negeri di dalam negara ini, maka gelaran Harimau Malaysialah paling sesuai untuk mencerminkan keadaan ini.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/11/23/harimau-malaya-atau-harimau-malaysia/

No comments: