Friday, January 28, 2011

Remaja 14 tahun tuntut pembebasan

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 14 tahun yang dipenjarakan hampir tiga bulan tanpa dibicara dan disabitkan kesalahan hari ini mengemukakan permohonan semakan jenayah dibawah Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini.Permohonan itu dikemukakan kepada Pejabat Hakim Mahkamah Tinggi Malaya (Jenayah1) Datuk Su Geok Yiam melalui setiausahanya di sini.

M Mughilan dipenjarakan ekoran tidak mampu membayar wang jaminan sebanyak RM1,700 atas pertuduhan Mahkamah Majistret, iaitu menggunakan kekerasan jenayah mencabul kehormatan seorang pengadu berumur lapan tahun.Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat dibawah Seksyen 354 Kanun Acara Jenayah, namun Mughilan kini ditahan di Pusat Tahanan Asrama Sentosa di Sentul, di sini.

Peguam mewakili Mughilan, P Uthayakumar semasa dalam permohonanya itu mahu satu perintah mahkamah (order to produce) dikeluarkan supaya remaja terbabit segera menjalani satu prosiding mahkamah.Uthayakumar berkata jika hakim membenarkan pengeluaran perintah mahkamah itu, pihaknya mahu satu tarikh perbicaraan rayuan semakan ditetapkan supaya remaja terbabit boleh dibebaskan tanpa sebarang rekod jenayah berikutan umurnya serta tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, remaja terbabit sekurang-kurangnya perlu dibebaskan tanpa dilepaskan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah, atau jika tidak dibawah Seksyen 93(1)(a) atau (b) Akta Kanak-Kanak 2001.Uthayakumar juga memberikan alasan ibu remaja terbabit tidak mampu membayar jumlah jaminan tersebut memandangkan beliau hanya bekerja sebagai seorang tukang sapu dan berpendapatan RM450 sebulan."Pihak kami pernah mengemukakan hujah yang sama kepada Majistret semasa sebutan semula kes Rabu lalu tetapi ditolak.

"Kami bimbang beliau akan terus dipenjarakan sehingga tamat perbicaraan yang mungkin akan mengambil masa sehingga satu atau dua tahun lagi dan ini adalah satu bentuk 'hukuman' yang tidak adil terhadap remaja 14 tahun ini," katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Salah faham

Menceritakan detik kejadian, Uthayakumar berkata pada 3 Ogos tahun lalu berlaku salah faham antara anak guamnya dengan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu di sebuah kolam renang di sebuah pangsapuri di sekitar sini.Katanya, pengawal keselamatan yang melihat insiden itu memanggil polis dan apabila tiba seorang anggota polis berpangkat konstabel terus menampar anak guamnya sebanyak tiga kali semasa menangkap dan menggarinya dikhalayak ramai sebelum dibawa ke balai polis.

Semasa dalam tahanan pada malam 4 Ogos tahun yang sama, Mughilan juga dikatakan telah ditampar sekali lagi oleh anggota polis yang sama serta kakinya ditendang sehingga mengalami kecederaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya."Mughilan juga dipaksa menandatangani satu dokumen setelah diugut yang jika tidak beliau akan disumbatkan dalam penjara, dan kemudiannya sekali lagi ditendang oleh polis yang berlainan," katanya.

Berikutan itu, Mughilan menurut Uthayakumar telah mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialaminya akibat dipukul dan terus membuat laporan polis terhadap anggota polis berpangkat konstabel terbabit.Satu sidang media juga berkaitan penganiayaan polis terhadap Mughilan diadakan pada keesokan harinya oleh Human Rights Party dan berita mengenainya telah dilaporkan dalam akhbar Tamil dan internet, kata Uthayakumar.

"Pihak polis seperti melakukan satu pembalasan dendam apabila pada 10 November tahun lalu Mughilan sekali lagi ditangkap dan dituduh di Mahkamah Majistret atas kesalahan yang serius yang tidak pernah dilakukannya," katanya.Sementara itu, ibu Mughilan, P Ushananthini, 35, ketika ditemui berkata hidupnya kini tidak lagi aman dan sering berasa susah hati memikirkan anaknya yang baru menginjak usia remaja, namun sudah pun menjalani hidup dipenjara seperti banduan yang lain.

"Setiap kali datang melawat anak saya, beliau menangis meminta tolong dan merayu kepada kami supaya dibebaskan."Peruntukan masa lawatan setengah jam yang diberikan tidak cukup malah saya mahu anak saya dibebaskan dan dibiarkan menjalani hidup yang normal seperti remaja lain," katanya. Excerpt: Mughilan yang dipenjara tanpa bicara atas pertuduhan mencabul kehormatan menuntut pembebasan

Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/28/remaja-14-tahun-tuntut-pembebasan/

No comments: