Monday, December 02, 2013

Mahabharata – Bahagian 52

Devayani terasa amat bangga dan gembira kerana bersuamikan Raja Yayati. Sekali gus, dia menjadi permaisuri di Kerajaan Bharata.

Bagi Yayati pula, baginda asyik terkenang akan Puteri Sarmista yang mula-mula dilihatnya pada majlis perkahwinan.

Sementara itu, Maharishi Sukracharya dan Raja Vrishaparva terpaksa akur pada syarat yang diletakkan oleh Devayani dahulu.

Maka apabila Devayani berkahwin dan tinggal di istana bersama-sama Yayati, Sarmista diarahkan pergi menjadi pembantu rumah.

Atas sebab itu, saban hari Yayati berpeluang melihat puteri itu bekerja membersihkan istana dan mengemaskan bilik tidurnya.

Di pihak Devayani pula, dia terasa amat gembira dan puas apabila seorang puteri yang angkuh berjaya dijadikan orang gaji yang terpaksa akur pada setiap arahan dan perintah.

Kini dialah wanita nombor satu atau “first lady”.

Devayani terasa amat bahagia hidup sebagai permaisuri. Yayati ternyata seorang suami yang pandai melayan isteri. Setiap kali ada peluang, mereka akan meluangkan masa bersama-sama di dalam bilik.

Lebih dua dekad sudah berlalu dan Devayani sudah melahirkan lima putera. Masing-masing sudah menjadi remaja dan dewasa.

Sebagai seorang wanita yang sudah meningkat usia, Devayani lebih banyak menumpukan masa pada aktiviti keagamaan dan spiritual. Keadaan ini membuatkan Yayati merasai keperluannya diabaikan.


Sebenarnya, sejak dahulu, Yayati sudah menjalinkan hubungan sulit dengan Sarmista. Hubungan itu disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa.

“Pastikan kita tidak terlanjur sehingga saya mengandung. Tambahan pula, saya mahu kekal ramping dan muda.

Saya tidak mahu menjadi seperti Devayani,” bisik Sarmista kepada Yayati sewaktu Devayani sedang mengandungkan anak ketiga.

“Usahlah dirisaukan. Tahulah beta cara dan teknik yang perlu digunakan supaya rahsia hubungan sulit kita kekal rahsia,” balas Yayati sambil merangkul kekasihnya dengan penuh ghairah.

Hubungan antara raja dan pembantu rumah itu berlanjutan selama hampir 21 tahun, iaitu sehingga putera sulung Yayati berumur hampir 20 tahun dan putera bongsu berumur 15 tahun.

Bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan daun pisang.

Ditakdirkan bahawa pada suatu tengah hari, sewaktu Yayati dan Sarmista sedang tidur bersama-sama di dalam bilik, Devayani melangkah masuk tanpa diduga.

Permaisuri itu benar-benar terpaku seketika kerana langsung tidak pernah menjangkakan mahu pun mengesyaki apa-apa hubungan intim antara Yayati dan Sarmista.

Kepala Devayani hampir pecah apabila Yayati membuat pengakuan bahawa hubungan sulit itu sudah bermula beberapa hari selepas mereka berdua berkahwin hampir 21 tahun dahulu.

“Selama ini kamu sangka saya menjadi pekerja kamu di istana. Akan tetapi, sebenarnya saya terus kekal di sini untuk bermadu kasih dengan kekasih saya,” kata Sarmista dengan sinis.

Pengakuan Yayati dan Sarmista membuatkan Devayani terpinga-pinga.

Pada sangkaannya, hubungan sulit antara mereka berdua bermula beberapa tahun lalu; iaitu selepas Devayani menjadi tua dan sudah tidak mampu memuaskan Yayati.

Akan tetapi, rupa-rupanya hubungan sulit mereka sudah berlangsung lebih dua dekad lamanya.

“Apakah rahsia Sarmista untuk kekal muda dan pinggangnya masih ramping? Amat berbeza dengan tubuh aku sejak berkahwin dengan Yayati dahulu.”

Demikian Devayani berfikir sesaat sebelum segera menyedari bahawa bukan itu soal utama untuk dihiraukan.

Isu di sini adalah bahawa suaminya sudah berlaku curang dengan orang gaji. Hukuman yang setimpal perlu dikenakan.

Tanpa membuang masa, Devayani segera mengarahkan pemandu kereta kuda membawanya ke rumah bapanya, Sukracharya.

Sebaik sahaja tiba di sana, Devayani menceritakan secara terperinci masalah yang sedang dihadapi. Sukracharya mendengar dengan tenang.

“Memang saya telah menjangkakan masalah seperti ini akan muncul sewaktu kamu bertegas mahu membawa Sarmista sebagai orang gaji dahulu,” kata maharishi tua itu.

No comments: