Monday, April 01, 2013

Mahabharata – Bahagian 26


Sebaik sahaja Devavrata bersumpah atas nama Tuhan Yang Maha Kuasa, komuniti nelayan yang berkumpul di rumah bapa Satyavati tahu bahawa putera berkenaan akan berpegang pada ikrar yang dilafazkan.

Ketua komuniti nelayan juga berpuas hati dengan jaminan yang diberikan. Tambahan pula, dewa-dewi di kayangan sendiri melaungkan “Bhisma! Bhsima! Bhisma!” dari langit sebagai bukti bahawa Devavrata akan akur pada janji untuk tidak berkahwin sampai bila-bila.

Mulai saat itu jugalah Devavrata dikenali sebagai Bhisma. Putera itu membawa Satyavati pulang ke istana Kerajaan Kuru di Hastinapura. Kepulangannya disambut dengan penuh meriah.

Raja Santanu terasa amat terharu, gembira, teruja dan berterima kasih atas tindakan puteranya. Tentulah pada mulanya baginda tidak tahu tentang sumpah dan ikrar yang dilakukan oleh Devavrata.

Dipendekkan cerita, majlis perkahwinan Santanu dan Satyavati berlangsung dalam keadaan meriah. Dahulu, rakyat jelata di Hastinapura dan seluruh isi istana tidak sedikit pun mempersoalkan identiti Gangga yang dibawa pulang dan dikahwini oleh Santanu.

Kemudian, mereka juga tidak bertanya apa-apa apabila tujuh putera hilang secara misteri beberapa hari sahaja selepas dilahirkan. Putera kelapan juga hilang bersama-sama ibunya. Beberapa tahun kemudian, putera itu dibawa pulang oleh Santanu ke istana dan dipanggil Devavrata.

Rakyat jelata dan isi istana tidak mempersoalkan apa-apa. Apabila nama Devavrata ditukar kepada Bhsima, mereka akur sepenuhnya. Memang demikianlah kuasa yang dimiliki oleh pemerintah dan demikianlah sikap rakyat yang sudah terlalu biasa menerima sahaja apa-apa keputusan yang dibuat oleh golongan pemerintah.

Tidak lama selepas Santanu memperisterikan Satyavati, permaisuri itu melahirkan seorang putera yang diberi nama Chitrangada. Ternyata walaupun sudah tua, raja itu masih mampu menjadi bapa.

Ketika Chitrangada berusia sekitar enam tahun, lahir pula seorang lagi putera yang dinamakan sebagai Vichitravirya. Bhisma menerima kehadiran kedua-dua adik tirinya dengan gembira. Seluruh kasih sayang dicurahkan kepada Chitrangada dan Vichitravirya.

“Dia tidak cemburukah terhadap kedua-dua putera yang dilahirkan oleh Satyavati?” Demikian beberapa orang bangsawan berbisik-bisik sesama sendiri di luar istana.

“Kenapa pula? Bukankah Bhisma menyayangi mereka sepenuh hati?”

“Tujuh putera lahir sebelum Devavrata yang kini dikenali sebagai Bhisma. Namun, Bhisma yang cukup bertuah dan berpeluang menjadi yuvaraja. Tetapi Bhisma melepaskan jawatan penting itu demi memastikan ayahnya iaitu Raja Santanu boleh mengahwini Satyavati.”

“Apa salahnya? Bhisma tidak dipaksa oleh sesiapa. Dia sendiri yang mengambil keputusan itu,” kata seorang lagi yang menyertai sesi perbualan dalam kalangan bangsawan itu.

“Bayangkan! Walaupun sudah dewasa dan memiliki tubuh yang tegap dan wajah yang tampan serta menjadi kegilaan ramai gadis, Bhisma tetap mahu kekal sebagai brahmachari.”

“Raja Santanu sudah pun mengahwini Satyavati dan mereka sudah pun ada dua putera. Tidak bolehkah Bhisma membatalkan janjinya untuk kekal bujang? Lagi pun, sampai bila dia boleh hidup sendiri tanpa pasangan untuk menguruskan segala keperluan?”

Perbualan tidak rasmi dalam kalangan bangsawan itu disertai ketawa penuh makna. Perbincangan topik sama juga mula berlangsung dalam kalangan orang ramai. Kisah-kisah yang berlaku dalam kalangan pemerintah tidak lagi menjadi topik tabu yang tidak boleh diperkatakan oleh rakyat jelata. Sekurang-kurangnya dalam kalangan mereka sendiri.

“Kita lihatlah sampai bila Bhisma akan berpegang pada sumpahnya.”

“Kita lihat juga sama ada Bhisma akan terus berdiam diri apabila Chitrangada ditabalkan sebagai raja muda apabila tiba masanya. Tambahan pula, usia Raja Santanu semakin lanjut.”

Tidak lama kemudian, penduduk Hastinapura dan seluruh isi istana dikejutkan dengan suatu berita yang memeranjatkan.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/03/31/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-26/

No comments: