Monday, March 11, 2013

Mahabharata – Bahagian 22


Raja Santanu sedikit terkelu apabila mendengar kata-kata puteranya, Devavrata. Baginda bercadang mahu meluahkan kisah mengenai Satyavati yang ditemuinya di tebing Sungai Yamuna tetapi yuvaraja itu pula menyangka baginda mahu mencarikan calon isteri untuknya.

“Err … Ya, itu juga antara perkara yang merunsingkan ayahanda. Kau terlalu sibuk melatih angkatan tentera serta membawa mereka menjalani latihan di pelbagai tempat,” kata Santanu bagi memastikan perbincangan tidak menjurus kepada topik perkahwinan Devavrata.

“Usahlah ayahanda risau. Sebagai yuvaraja yang bakal mengambil alih pemerintahan kerajaan keturunan Kuru di Hastinapura, bukankah saya memang bertanggungjawab melakukan semua itu?” Raja muda itu bertanya dengan tegas tetapi penuh hormat.

Santanu mengangguk-angguk kecil. Baginda sedar bahawa kata-kata putera tunggalnya itu ada kebenaran. Namun, pada masa sama, baginda berusaha untuk meluahkan perkara sebenar yang sedang mengganggu fikirannya sejak dua minggu lalu.

“Sebenarnya …” raja itu berkata seketika kemudian sambil mengelak daripada memandang terus ke arah Devavrata. “Ayahanda risau kerana kaulah putera tunggal yang ada.”

Devavrata tahu bahawa tujuh abangnya terbunuh tidak lama selepas dilahirkan. Ibunya, Dewi Gangga, sudah menceritakan kisah itu kepadanya. Namun, putera itu hairan mengapa ayahnya tiba-tiba risau memikirkan soal dirinya.

“Kau selalu terlibat dalam latihan perang dan juga menjadi panglima tentera kerajaan Kuru. Bagaimana jika sesuatu yang tidak diingini berlaku? Bagaimana jika bala menimpa kau di medan perang?”

Devavrata pula yang terdiam pada kali ini. Santanu mengangkat muka dan memandang wajah puteranya. Wajah pemuda itu pula yang tertunduk sekarang.

“Oh! Kenapa Raja Santanu tidak berterus-terang sahaja kepada Devavrata bahawa baginda mahu mengahwini Satyavati?” Hussain bertanya setelah sekian lama tekun mendengar cerita yang disampaikan oleh datuk.

“Saya rasa Raja Santanu tidak sampai hati mahu mendedahkan punca sebenar yang menghalang baginda daripada mengahwini wanita itu. Bukankah begitu, datuk?” Hassan pula mengemukakan pandangan.

Datuk yang duduk sambil memegang naskhah Razmnameh pula menutup buku Bahasa Parsi itu perlahan-lahan. Kemudian beliau memandang pasangan cucu kembarnya.

“Ingat tak bahawa ketua komuniti nelayan tidak membenarkan Raja Santanu mengahwini Satyavati kerana bimbang cucu-cucunya tidak akan ada peluang menjadi raja kerajaan Kuru?” Datuk bertanya bagi membasahkan ingatan pasangan remaja itu.

“Benar, datuk. Raja Santanu pula tidak sanggup melucutkan jawatan yuvaraja atau raja muda yang sudah diberikan kepada Devavrata. Atas sebab itulah baginda tidak dapat berkahwin dengan Satyavati,” Hassan menghuraikan.

“Benar, datuk. Namun begitu, ternyata Raja Santanu tidak dapat melupakan gadis itu yang ditemuinya di tebing Sungai Yamuna. Pada masa sama, baginda tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perkara sebenar kepada Devavrata,” Hussain pula menambah.

Datuk mengangguk-angguk sambil tersenyum kecil mendengar pandangan, analisis dan huraian Hassan dan Hussain. Naskhah Razmnameh yang merupakan terjemahan epik Mahabharata masih dipegang erat.

“Ya, memang benar. Raja Santanu berada dalam dilema. Baginda tidak tahu sama ada mahu memilih untuk mengahwini Satyavati dengan akur pada syarat-syarat yang ditetapkan oleh ketua masyarakat nelayan itu, atau untuk memastikan Devavrata tetap menjadi yuvaraja yang bakal menggantikan tempatnya sebagai pemerintah,” kata datuk selaku menyambung cerita.

Devavrata dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada kisah yang disampaikan oleh ayahnya. Ada sesuatu yang tidak lengkap dan tidak didedahkan sepenuhnya oleh raja itu.

“Tentu sahaja bukan itu perkara utama yang membuatkan ayahanda risau dan runsing hingga ke tahap ini,” fikir Devavrata sejurus selepas meninggalkan Santanu. “Pasti ada sesuatu yang tidak kena.”

Devavrata sedar bahawa perubahan drastik pada diri ayahnya berlaku hanya sejak dua minggu lalu.
“Mungkin aku perlu bertanya kepada pemandu kereta kuda yang selalu berada bersama-sama ayahanda,” fikirnya.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2013/03/03/mahabharata-%e2%80%93-bahagian-22/

No comments: