Monday, April 09, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 19


Ah! Entah mengapa hari ini fikiranku agak bercelaru. Kenangan-kenangan lama terus sahaja mendatangi fikiranku satu per satu.

Dan mimpi itu! … Dua orang musafir memasuki istana. Tapi bukan aku yang menjadi maharaja.

Apakah makna mimpi itu? Adakah nasib yang menimpa Belia Raja akan menimpa diriku juga?

Surgiwa telah mendapatkan bantuan Rama untuk merampas semula takhta kerajaan kaum Vanara daripada Belia Raja. Siapa pula yang mungkin mahu membunuh aku?

Apakah …? Fikiranku melayang kembali.

Selepas pulih daripada pengsan, Rama dan Letchumanen berjalan meredah hutan menuju ke arah selatan Benua Hindia dalam usaha mencari Sita.

Di tengah perjalanan, mereka sampai di sebuah kampung kaum asli yang baru kematian ketua. Lalu, Rama mengisytiharkan dirinya sebagai raja. Penduduk kampung itu dijadikan tentera.


Kemudian, Rama, Letchumanen dan orang-orang kampung yang menjadi tentera itu meneruskan perjalanan jauh ke arah selatan.

Tidak lama selepas itu, mereka sampai di sempadan negeri Kishikindha iaitu negeri rakyat kera yang menggelarkan diri mereka kaum Vanara. Rama dan orang-orangnya duduk berehat di bawah pokok melepaskan lelah.

Tiba-tiba ada air mata yang gugur ke dalam mulut Rama. Rama mencari-cari puncanya. Akhirnya dia menemui Surgiwa di atas pokok bodhi.

“Apa yang kau tangiskan, wahai kera?” Rama bertanya dengan nada jijik.

“Wahai Rama, anak Dasaratha, aku telah dihalau oleh kekandaku, Belia Raja.”

“Atas alasan apa?” Rama mula berminat pula.

“Aku sangka dia sudah mati. Lalu aku menabalkan diriku sebagai raja sebagaimana permintaannya dahulu.

Tetapi tiba-tiba dia datang semula dan bertindak menghalau aku. Mahukah kau membantu aku membunuhnya?”

“Maafkan aku. Sesungguhnya aku sedang mencari Ravana yang membawa lari isteriku ke Langkapuri. Tambahan pula, aku amat benci melihat kaum kera. …”

“Tolonglah. Aku boleh membantu kau mengesan isteri kau jika kau membantu aku sekali ini,” Surgiwa memujuk Rama.

“Kau? Apa yang boleh kau lakukan?”

“Kalau aku dapat membunuh Belia Raja, aku akan menjadi raja segala kera. Aku akan arahkan seluruh rakyat Kishikindha menjadi tentera kau.”

Bercahaya mata Surgiwa. Bercahaya juga mata Letchumanen.

“Aku sudah ada tentera sendiri.”

“Tentera kau terlalu kecil dan tidak terlatih. Lagi pun, tentera aku boleh melakukan apa sahaja. Mereka senang diarah membuat apa sahaja. Misal kata, jika diminta membina tambak dari Pantai Malabar ke Langkapuri pun mereka akan lakukan tanpa merungut.”

Rama membisu seketika. Langkapuri! Adakah Sita di sana? Masih setiakah dia kepadaku? Demikian fikir Rama.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/04/07/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-19/

No comments: