Monday, March 05, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 10


Letchumanen segera berlari ke arah mereka. Menyedari kedatangannya, kedua-dua ekor kera itu bertempiaran lari memanjat pokok-pokok beringin yang banyak di situ.

“Kekanda!”

Disebabkan melanggar nasihat Maharishyi Kaswa, maka Rama dan Sita menerima padah.

Sebenarnya, selepas meminum air dari mana-mana satu telaga tersebut, Sita akan mengandung. Anak yang bakal lahir itulah yang akan membantu Rama membunuh Ravana.

Memandangkan bahawa mereka telah melanggar nasihat maharishyi dengan meminum air dari telaga berair jernih, maka tentulah akan timbul beberapa kesan sampingan.

Rama dan Sita sudah bertukar bentuk menjadi kera sebaik sahaja mereka minum air telaga jernih.

Melihat kedatangan Letchumanen, pasangan kera itu terus melompat dari dahan ke dahan. Letchumanen terus mengejar selagi terdaya.

Dia juga menawarkan pelbagai jenis buah-buahan kepada kera-kera itu bagi memujuk mereka supaya turun. Usahanya gagal.

Dia terus memujuk mereka setiap pagi. Setiap tengah hari. Setiap petang. Setiap hari. Tetap gagal.
Namun begitu, Letchumanen tidak boleh berputus asa. Berputus asa bermakna kedua-dua kera itu tidak tertangkap. Membiarkan sahaja kedua-dua kera itu bermakna Rama dan Sita tidak akan kembali pulih seperti sedia kala.

Tiga minggu berlalu. Letchumanen sudah tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Sebagai langkah terakhir, diangkatnya busur Rama.

Biarlah Rama dan Sita mati sahaja daripada terus kekal sebagai kera, fikirnya.

Lalu dimasukkannya anak panah. Diacunya tepat ke arah Sita di atas dahan pokok bodhi.
Maafkan aku, kekanda! Demikian bisiknya.

Belum sempat Letchumanen membusur, Rama menyerang dari arah belakang. Anak panah melayang. Rama menggigit lengan Letchumanen.

Busur jatuh ke tanah. Letchumanen memegang kepala Rama. Anak panah melayang lagi. Rama dan Letchumanen jatuh.

Sita masih mengupas buah duku. Letchumanen mengguling di atas tanah. Anak panah melayang lagi.
Rama mencalar muka Letchumanen. Anak panah terus melayang!

Letchumanen memegang kedua-dua belah tangan Rama. Anak panah mengena pangkal pokok bodhi. Sita terkejut.

Letchumanen mengangkat Rama. Rama meronta. Letchumanen membawa Rama ke sisi telaga berair keruh.


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/03/04/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-10/?doing_wp_cron

No comments: