Monday, February 27, 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 8


“Nescaya, tuanku,” Bibasenam mengakui kebenaran kata-kata Ravana.

“Benarkah beta akan menemui ajal di tangan suami anak ini?”

“Itu sekadar ramalan, tuanku. Patik perlu menujum sekali lagi apabila bayi ini berusia lima tahun untuk menentukan kesahihan ramalan itu.”

Ravana terus diam. Lama juga.

“Tuanku risau …?”

Ravana ketawa.

“Mamanda sudah lupakah rahsia beta?”

“Tentu tidak, tuanku. Hanya tuanku seorang yang tahu di mana letaknya nyawa tuanku.”
Ravana menghela nafas.

“Jadi apa pula yang sedang mengganggu fikiran tuanku sekarang?”

“Mamanda tentu tahu …,” Ravana mula meluahkan perasaan bimbang dalam jiwa setelah diam seketika.
Bibasenam setia menanti untuk mendengar.

“Beta sentiasa tidak dapat mengawal nafsu. Beta sentiasa berkeinginan untuk memperisterikan setiap wanita jelita di seluruh alam.”

“Sudah selayaknya begitu, tuanku.”

Ravana kembali membisu. Lebih lama daripada tadi.

“Mamanda bunuh sahaja anak ini yang belum sempat diberi nama.”

“Tuanku!”

“Itu sahaja langkah yang akan dapat menyelamatkan anak ini daripada menjadi mangsa nafsu beta. Laksanakan perintah ini dengan kadar segera!”

Dihanyutkan di sungai


Bibasenam tidak sampai hati hendak membunuh bayi berkenaan. Lalu dihanyutkannya bayi perempuan itu di dalam Sungai Illadhaar.Bayi itu kemudian dipungut oleh Maharishyi Kala dan dipeliharanya. Lalu membesarlah anak yang diberi nama Sita Dewi itu menjadi perawan sebagaimana difirasatkan oleh Ravana.
Maharishyi Kala tidak tahu langsung bahawa Sita adalah anak Mandudaki.

Sementara itu, di Ayodhya pula, Rama dan Letchumanen menjadi pemanah yang handal. Mereka berguru pada ramai mahaguru terkenal.Brahma sendiri pernah menjelma sebagai seorang mahaguru untuk mengajar Rama dan Letchumanen taktik memanah yang jarang-jarang dapat dikuasai orang lain.

Brahma juga menghadiahkan beberapa anak panah sakti yang sebenarnya bertujuan untuk digunakan bagi membunuh Ravana suatu hari nanti.Tatkala Sita berumur dua belas tahun, Maharishyi Kala mengadakan sayembara bagi memilih bakal suami bagi gadis sunti itu.

Ditakdirkan Rama muncul sebagai pemanah terhandal dan berjaya memiliki Sita yang jelita.
Demikianlah, segala-galanya terjadi mengikut takdir Tuhan. Bukankah Tuhan yang merancang perjalanan alam?


Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/26/hanuman-suara-hati-%e2%80%93-bahagian-8/

No comments: