Hussain sedang menelaah teks Razmnameh dalam Bahasa Parsi bersama-sama Hassan apabila dia menyedari betapa Mahabharata adalah sebuah epik yang amat kompleks dan sukar dihuraikan secara terperinci dalam masa yang singkat. Tidak hairanlah datuk mereka turut menghadapi masalah untuk menjelaskannya secara mendalam.
Vyasa selaku pengarang epik klasik India ini ternyata menggunakan cerita berbingkai dan plot kompleks dalam menyampaikan cerita yang menggabungkan unsur politik, agama, geografi, teknik perang, dharma, moral, falsafah, keluarga, persahabatan, ketaatan dan ribuan topik lain dalam sebuah epik yang diperakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia.
Epik Mahabharata pada asalnya ditulis dalam bahasa Sanskrit pada sekitar kurun ke-5 Sebelum Masehi dan kurun ke-2 Masehi. Ia mengisahkan perang saudara antara golongan Kauruva (seramai seratus orang) dan golongan Pandava (seramai lima orang) berikutan tindakan golongan Kauruva merampas kerajaan daripada golongan Pandava secara tipu muslihat.
Namun begitu, sebagai permulaan kepada kisah yang terbahagi kepada 18 parva (bahagian) ini, Hassan dan Hussain mahu mengenali individu bernama Vyasa yang bukan sahaja bertindak sebagai penggubah epik itu, malah turut tampil sebagai salah satu watak penting di dalamnya. Hal ini boleh dibandingkan juga dengan kehadiran Valmiki sebagai watak dan juga penggubah sebuah lagi epik klasik Sanskrit iaitu Ramayana.
Satu lagi nama timangan bagi Vyasa ialah Krishna. Bagaimanapun, nama itu adalah sempena kulitnya yang gelap dan bukan merujuk kepada Dewa Krishna – yang kebetulan juga tampil sebagai satu lagi watak penting dalam Mahabharata.
Vyasa dikatakan anak kepada Satyavati dan Parashara. Terdahulu, Satyavati bersuamikan Shantanu dan salah seorang anak yang lahir ialah Vichitravirya. Maka, Vyasa dan Vichitravirya merupakan adik-beradik tiri; seibu tetapi berlainan bapa. Demikian Hussian dan Hassan pernah mendengar cerita daripada datuk mereka.
Menurut kisah dalam Mahabharata, Vichitravirya berkahwin dengan pasangan adik-beradik, Ambika dan Ambalika. Malangnya putera itu meninggal dunia akibat batuk kering. Maka ibu mendiang, iaitu Satyavati, cuba memujuk Bhisma (anak tirinya) supaya menggauli Ambika dan Ambalika demi meneruskan generasi Kuru.
Ya, kisah dan jurai keturunan dalam Mahabharata memang amat kompleks. Satyavati bersuamikan Shantanu sebelum mengahwini Parashara. Shantanu pula sebelum itu sudah mengahwini Ganga yang melahirkan Bhisma. Maka, Bhisma, Vichitravirya dan Vyasa adalah adik-beradik tiri dalam suatu keluarga yang amat kompleks.
Pasangan kembar Hassan dan Hussain terpaksa membuat rajah khas untuk menggambarkan hubungan kekeluargaan keturunan Kuru supaya dapat mengikuti kisah Mahabharata dengan lebih baik.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/10/07/mahabharata-%E2%80%93-bahagian-1/
No comments:
Post a Comment