Thursday, April 28, 2011

Pekerja lumpuh kesal tuntutan Perkeso ditolak

PUTRAJAYA: Seorang pekerja wanita yang lumpuh kesal apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menolak tuntutannya untuk mendapatkan pencen ilat.M. Vijaya, 47, hilang pekerjaannya sebagai pekerja kilang dan tukang sapu di Ringlet, Cameron Highlands selepas disahkan diserang angin ahmar dan lumpuh bahagian kiri badan pada tahun 2006.Seksyen 16(2)(b) dalam Akta Perkeso menyatakan seseorang harus ditafsirkan sebagai ilat jika beliau tidak berupaya mendapat pendapatan melebihi 33 peratus daripada jumlah yang diperolehi sebelum keilatan itu.
Namun semasa pemeriksaan Perkeso, Jemaah Doktor (JD) menolak permohonan Vijaya tanpa menjalankan pemeriksaan fizikal terperinci.Vijaya, ibu kepada dua anak yang masih bersekolah ini kemudiannya membuat rayuan kepada Jemaah Doktor Rayuan (JDR), namun sekali lagi doktor tidak membuat pemeriksaan terperinci sehingga menyebabkan rayuannya ditolak lagi.Sehubungan itu, Vijaya yang diwakili anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) hadir ke Kementerian Kesihatan Melaysia untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai mempersoalkan peranan dan tanggungjawab JD dan JDR Perkeso.

"Doktor Perkeso mengatakan saya masih mampu bergerak tapi sekarang apa-apa kerja termasuk kerja rumah pun saya tak mampu buat," katanya kepada FMT di sini.Sementara itu, Ahli Perwakilan PSM Negeri Pahang K Suresh berkata, memorandum itu diserahkan supaya menteri mengaturkan pemeriksaan oleh pakar saraf untuk memeriksa kesihatan Vijaya."Pakar Neurologi ini perlu memeriksa dan memberi laporan perubatan terkini supaya kami boleh merujuk kepada Perkeso untuk membuka semula dan mempertimbangkan kes beliau.

"Perkeso ditubuhkan untuk memberi perlindungan kepada pekerja yang sakit dan tidak lagi mampu bekerja sebelum mencapai umur 55 tahun."Malangnya kecuaian doktor dari Kementerian Kesihatan sedang melumpuhkan perlindungan ini," katanya.Namun, Vijaya gagal bertentang mata dengan Liow dan memorandum itu kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Politik Liow, Leong Kim Sin untuk pertimbangan lanjut. Excerpt: Vijaya hilang pekerjaannya sebagai pekerja kilang dan tukang sapu di Ringlet, Cameron Highlands selepas disahkan diserang angin ahmar dan lumpuh bahagian kiri badan.

 
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/04/28/pekerja-lumpuh-kesal-tuntutan-perkeso-ditolak/

No comments: